Saranan simplistik bukan penyelesaian kos sara hidup rakyat

Oleh MALAYSIADATELINE

Saya terpanggil untuk memberi sedikit komen berkenaan isu berkaitan rakyat kena terlibat dalam beberapa pekerjaan.

Isu ini timbul susulan cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan untuk mengatasi kenaikan kos kehidupan yang semakin rumit hari ini.

Cadangan beliau mendapat sokongan daripada  setengah pihak kerana dirasakan ia satu realiti yang terpaksa diterima.

Namun ramai juga yang mengkritik kerana dirasakan ia tidak akan mampu menyelesaikan masalah.

Ini kerana bukan sahaja ramai sekarang yang terpaksa berhenmpas pulas bekerja siang dan malam walaupun hanya mempunyai satu kerja, malahan ramai yang mempunyai masalah untuk mendapat sebarang pekerjaan menyara kehidupan mereka.

Sebenarnya masalah kenaikan kos kehidupan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia,  juga berlaku di negara lain terutama sekali negara yang dikatakan maju dari segi pencapaian ekonomi.

Sebagai contoh di bandaraya Tokyo di Jepun, ramai yang terpaksa tinggal di dalam rumah yang bukan sahaja kecil bahkan jauh dari tempat kerja kerana kos perumahan begitu tinggi.

Sewa apartment studio adalah lebih kurang RM6,000 sebulan. Pendapatan pekerja di Jepun secara relatif kepada kos sewa bukannya tinggi sangat. Sebagai contoh purata gaji guru di Jepun lebih kurang RM17,500 sebulan. Ini bermakna lebih dari separuh pendapatan akan hais untuk kos tempat tinggal sahaja.

Bagaimana pula dengan kos makanan, pakaian, pengangkutan, perbelanjaan persekolahan anak, bil utiliti dan lain-lain lagi?

Kerumitan kehidupan di Jepun menyebabkan ramai rakyat Jepun yang tidak pulang ke rumah selepas kerja dan tidur di Kafe Ciber atau di stesen keretapi. Ramai juga yang menjadi gelandangan.

Sebenarnya masalah yang sama juga wujud di negara maju lain seperti di Hong Kong, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Bahkan di Amerika Syarikat sekarang terdapat ratusan ribu yang hanya tinggal di dalam khemah yang didirikan secara haram di kawasan tepi bandar kerana ramai yang sudah tidak mampu membayar kos perumahan.

Punca utama masalah kos kehidupan adalah berkait rapat dengan sistem ekonomi yang tidak diamalkan.

Di negara maju sistem ekonomi adalah berdasarkaan sistem riba di mana wang diciptakan dengan banyak oleh sistem perbankan yang sentiasa berkembang.

Setiap kali pihak bank memberikan pinjaman kepada pelanggan, maka matawang akan dicipta jadi perkembangan sistem berbankan akan mengakibatkan jumlah matawang yang banyak inilah yang menjadi faktor utama kepada berlakunya inflasi.

Jika sektor perumahan berkembang dengan cepat, sudah tentu inflasi akan menjadi lebih teruk kerana hampir kesemua pembelian rumah adalah dengan cara berhutang.

Oleh kerana harga rumah mahal, maka jumlah hutang juga sangat banyak. Di Malaysia sektor perumahan meningkat dengan mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Maka tidaklah hairan kenapa tahap hutang isi rumah sekarang sudah meningkat menjadi RM940 bilion dan kenapa aset sektor perbankan sudah melepasi angka RM2 trillion. Inilah antara penyumbang utama kenapa kos kehidupan di Malaysia juga meningkat dengan cepat.

Keadaan juga sudah tentu akan menjadi teruk apabila pinjaman juga dilakukan oleh syarikat swasta dan kerajaan. Disamping itu persaingan sengit diantara syarikat yang berhutang dengan banyak ini mengakibatkan mereka terpaksa membuang pekerja atau mengurangkan gaji pekerja dan akibatnya purata pendapatan pekerja tidak meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan kos kehidupan.

Jelaslah penyelesaian masalah kenaikan kos kehidupan bukanlah satu perkara yang senang dan mudah. Keadaan ini memerlukan kepada perubahan sistem ekonomi dan kewangan negara.Perubahan sistem ekonomi pula bukannya satu perkara yang dapat dilakukan dalam masa yang singkat.

Ia juga memerlukan kepada perubahan sistem nilai masyarakat supaya tidak mempunyai sikap yang terlampau materialistik atau kebendaan dan suka membeli barang walaupun terpaksa berhutang dengan banyak.

Kewujudan sikap kebendaan ini pula berpunca dari penghakisan nilai asas masyarakat yang mengakibatkan ramai yang hidup dengan cara ‘mengukur baju di badan orang lain.’

Pemimpin kerajaan yang bijak dan matang sepatutnya menyedari hakikat yang diterangkan di atas dan tidak akan membuat saranan yang simplistik yang sebenarnya tidak akan dapat menyelesaikan masalah masyrakat yang rumit.

Jika komen ini datang dari pemimpin kerajaan yang ditanggapi oleh sebahagian besar masyarakat sebagai kerajaan yang banyak menghabiskan duit rakyat melalui pembaziran dan ketirsan maka tidak hairanlah kenapa ia mengakibatkan rakyt menjadi lebih marah.

Tetapi rakyat juga harus disedarkan mereka bukan sahaja memerlukan pemimpin yng amanah yang tidak menyalahguna kuasa dan membazirkan duit rakyat.

Mereka juga harus berusaha menukar nilai dan cara hidup mereka supaya dengan itu kita dapat menggantikan sistem ekonomi negara kepada sistem yang lebih baik, yang bebas dari amalan riba dan berpaksi kepada prinsip keadilan sosial dan persaudaraan murni.

* Prof Mohd Nazari Ismail adalah Ketua Biro Penyelidikan Pertubuhan IKRAM.