Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan dikenakan perintah tahanan reman hari ini selepas disyaki mencabul seorang pelajar Tingkatan Satu daripada sebuah sekolah berasrama penuh pada minggu lalu.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Dr Teoh Shu Yee di Mahkamah Majistret Alor Gajah bermula hari ini sehingga 20 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, tindakan ke atas anggota berusia 32 tahun itu diambil susulan kejadian cabul berkenaan dibongkarkan oleh ibu mangsa sendiri pada Ahad lalu, lapor Berita Harian.
Sumber memaklumkan perkara itu diketahui selepas wanita berusia 33 tahun dari Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah terbabit membaca beberapa mesej di aplikasi WhatsApp anaknya.
“Pada awal bulan Januari lalu, mangsa berkenalan dengan suspek yang juga jirannya selepas mereka kerap berjumpa di taman permainan di taman perumahan itu.
“Suspek meminta nombor telefon dan akaun TikTok milik mangsa untuk memudahkan mereka saling berhubung sehingga menyebabkan hubungan mereka menjadi semakin rapat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Kejadian dipercayai berlaku pada 4 Mei lalu ketika suspek menjemput mangsa di asrama untuk keluar bersama dan membawa remaja itu bersiar-siar di sekitar kawasan Alor Gajah sebelum mencabulnya di dalam kereta.
Ibu mangsa yang terkejut ketika membaca perbualan anaknya bersama suspek bertindak bertanyakan perkara itu kepada mangsa sebelum remaja berkenaan mengaku dicabul oleh suspek ketika berada dalam kereta.
Wanita itu selaku pengadu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru semalam dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
Hasil siasatan polis kemudian mendapati mangsa adalah pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Melaka manakala suami pengadu juga bekerja sebagai tentera berpangkat Koperal di Kem Terendak.
Bertindak atas laporan tersebut, suspek ditahan di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka jam 6.30 petang semalam.
Baca juga: Pendapat hanya RM285 sebulan tapi anak 5, Datuk Bandar tegur golongan miskin