Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pasangan pengantin menggayakan persalinan busana songket yang berbeza warna dalam majlis persandingan mereka hingga menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, ‘pasangan mempelai’ itu dikatakan telah mencipta kelainan baharu yang tidak pernah dilakukan oleh pengantin lain dengan bersanding di atas pelaminan menggunakan busana berbeza warna.
Berdasarkan rakaman berdurasi 22 saat yang dimuat naik di platform TikTok itu, pengantin perempuan tampak ayu menggayakan busana songket berona merah manakala mempelai lelaki pula memakai persalinan berwarna hijau.
Rakaman tersebut dikongsi menerusi akaun TikTok milik jurugambar yang memaklumkan bahawa pasangan itu mengambil keputusan untuk memilih warna busana berbeza mengikut citarasa masing-masing.

“Pengantin kata, warna (baju) ikut minat masing-masing. Senang, tak payah gaduh-gaduh. ‘Trend’ 2025 menyala,” kata jurugambar terbabit di dalam perkongsian yang kini sudah meraih mencecah 2 juta tontonan itu.
Perkongsian itu telah menimbulkan pendebatan dalam kalangan pengguna TikTok yang mempunyai pendapat berbeza mengenai tindakan pasangan pengantin terbabit mengenakan busana berlainan di hari bahagia mereka.
Rata-rata pengguna berpandangan bahawa keputusan yang diambil pengantin berkenaan malah menimbulkan kebimbangan kerana ketiadaan persefahaman dan sikap mengalah antara salah satu mempelai untuk mengikut pilihan pasangan.
Namun segelintir pengguna TikTok pula menganggap gabungan warna yang dipilih sepadan sahaja malah tidak salah sekiranya mereka berdua telah bersepakat untuk bersanding mengikut pilihan sendiri tanpa menghiraukan pendapat orang lain.
Bagaimanapun menerusi perkongsian seterusnya, pemilik akaun menjelaskan bahawa pasangan pengantin dalam rakaman dimuat naiknya sebelum ini sebenarnya adalah adik-beradik yang memiliki pasangan masing-masing.
“Ya, betul itu tuan-tuan dan puan-puan. Video sebelum ini adalah pengantin dua beradik. Tetapi sepadan jugakan warga baju merah dengan hijau itu,” tulisnya di ruangan kapsyen memberikan penjelasan.
Penjelasan yang dibuat oleh jurugambar berkenaan turut meraih pelbagai respons daripada pengguna TikTok yang mana sebahagian besar pengguna merasa kesal kerana berpendapat telah di‘scam’ (ditipu).
Ramai pengguna bagaimanapun masih dapat menerima hantaran ‘gurauan’ itu dengan baik namun beberapa individu juga berharap supaya jurugambar itu tidak lagi memuat naik perkongsian yang mengundang fitnah.
“Sebab itulah jangan memuat naik perkara yang boleh mengundang fitnah. Tak fasal-fasal yang kecam itu mendapat dosa,” kesal seorang pengguna terhadap perkongsian itu.
“Walaupun kena scam tetapi pada pendapat aku, tidak mengapa kalau pengantin pakai baju berbeza warna macam ini. Bukan tak pakai baju. Sopan dan cantik sahaja.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Dituduh tak ‘move on’, Sherry Ibrahim bagi amaran dekat netizen