“Saya ada agama, satu sen tak ambil duit Mara” – Asyraf Wajdi nak saman Papagomo RM1 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo mengenai dakwaan fitnah ditularkan oleh individu terbabit di platform TikTok, baru-baru ini,

Sehubungan itu, Dr Asyraf memaklumkan pihaknya akan menyaman Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana didakwa menyebarkan tuduhan tidak berasas berkaitan tender projek dan ibadah korban.

Menerusi satu rakaman berdurasi dua minit 24 saat yang dikongsikan di platform TikTok, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa tiada satu sen wang dari agensi Mara digunakan untuk program korban di Perak pada Aidiladha lalu.

Sebaliknya, ibadah tersebut berjalan lancar hasil daripada sumbangan orang ramai yang berniat untuk bersedekah kepada penduduk Gerik malah salah satu lembu korban merupakan pemberian peribadinya kepada pihak Mara.

“Ya Allah, tidak takut dosa ke? Tak akanlah saya membeli lembu korban dengan menggunakan duit Mara. Saya ini ada agama juga. Tiada satu sen pun saya ambil duit Mara untuk beli lembu korban.

“Tetapi untuk pengetahuan Papagomo, di hari itu ramai yang menyumbang untuk bersedekah kepada penduduk Gerik. Salah satu lembu korban itu pula, saya sedekahkan kepada Mara Daerah Gerik. Bukan mereka yang beri duit.

“Kita yang menyerahkan lembu untuk diagihkan kepada kakitangan MARA Gerik dan Perak. Ini sudah melampau, Papagomo. Jumpa awak di mahkamah. Saya akan saman RM1 juta. Ini fitnah yang merosakkan imej saya dan Mara,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa dirinya tidak pernah terlibat di dalam sebarang urusan berhubung pemberian tender atau projek Mara sepanjang memegang jawatan dalam agensi tersebut.

Malah beliau juga dikatakan tidak pernah terlibat dalam mana-mana mesyuarat berkaitan dengan pengagihan tender projek agensi berkenaan walaupun memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA.

@drasyrafwajdi

PAPAGOMO, SEE YOU IN COURT! “Dosa Fitnah lebih besar daripada Membunuh” (Al-Baqarah:191) Tular satu lagi siri fitnah oleh Papagomo atau nama sebenarnya Azri yang mendakwa kononnya saya mengagihkan tender makan dan projek-projek MRSM kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan menggunakan duit MARA untuk beli lembu korban di Gerik. Astaghfirullah, sejak bila saya terlibat dengan tender makan MRSM? Seluruh Malaysia tahu, saya sendiri #Terjah ke MRSM termasuk Dewan-Dewan Selera untuk pecahkan kartel yang antara penyebab kualiti penyediaan makanan yang menurun demi memastikan kebajikan dan keselesaan buat anak-anak pelajar. Sebagai Pengerusi MARA, saya tiada kuasa bahkan tidak pernah terlibat dalam mana-mana mesyuarat tender perolehan MARA kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif. Tetapi sebagai pengerusi, saya mengambil tanggungjawab bersama ahli-ahli Majlis MARA untuk perketatkan aspek tadbir-urus MARA bagi memastikan tiada ruang untuk salah guna kuasa berkaitan isu-isu tender seperti ini. Satu lagi FITNAH JAHAT beliau ialah lembu-lembu korban yang diagihkan kepada penduduk-penduduk Gerik adalah menggunakan duit MARA. Untuk pengetahuan semua, lembu-lembu itu semua adalah hasil sumbangan individu-individu dan sahabat-sahabat saya yang berniat korban untuk disumbangkan di Gerik dan Pasir Puteh Kelantan. TIDAK ADA SATU SEN PUN WANG MARA digunakan untuk membeli lembu-lembu korban seperti yang difitnah. Tuduhan ini amatlah melampau, mengaibkan dan menjejaskan reputasi saya. Kita jumpa di mahkamah. Saya akan saman RM1 juta. Budaya fitnah seperti ini tidak boleh dibiarkan. #SeeYouInCourt #TolakPolitikFitnah #FitnahPapagomo

♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

“Sudah banyak dia buat fitnah. Sejak bila pula saya ambil tender-tender makan ini? Rasanya seluruh Malaysia tahu saya ini asyik turun padang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan semua institusi pendidikan Mara.

“Salah satunya, untuk memecahkan kartel-kartel yang sedia ada dan saya bertanggungjawab memastikan segala bentuk projek mesti diagihkan mengikut prinsip tadbir urus yang betul.

“Namun, saya dan Ahli Majlis MARA sentiasa memastikan bahawa tatakelola mesti betul. Tidak mungkin kita boleh memberi sewenang-wenangnya kepada sesiapa, apatah lagi mengkhianati amanah rakyat.” Tegasnya.

Asyraf Wajdi turut berkongsi sedutan rakaman daripada Papagomo dalam perkongsian itu memaparkan individu terbabit mempersoalkan isu pengagihan tender berkaitan MRSM yang didakwa diperoleh pemimpin UMNO.

Papagomo dalam video tersebut turut membangkitkan isu berhubung sumber kewangan yang digunakan untuk melaksanakan ibadah korban melibatkan 40 ekor lembu selain mendakwa program itu dibiayai daripada duit Mara.

Baca juga: Negara membangun perlu bangkit sebagai kuasa bermaruah, bukan lagi pemain pinggiran