“Saya ada kecemasan, bukan buat show”, Achey jawab tuduhan sombong tak layan peminat bergambar

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang individu meluahkan kekesalan apabila pelawak yang diminatinya iaitu Achey enggan melayan permintaannya untuk bergambar ketika berada di sebuah hospital.

Menyedari dirinya bukanlah siapa-siapa, peminat berkenaan berkongsi kekesalannya menerusi ruangan komen di akaun TikTok yang dimiliki anggota kumpulan Bocey itu.

Komen yang seakan menuduh Achey bersikap sombong itu berjaya meraih perhatian ramai termasuklah ‘tuan badan’ sendiri hingga tampil menjawab dakwaan tersebut.

Menerusi hantaran di platform sama, pemilik nama sebenar Mohd Nasir Hamzah itu menjelaskan kedatangannya ke hospital adalah bertujuan untuk urusan kecemasan.

Hal ini ekoran salah seorang pekerjanya dimasukkan ke dalam hospital yang terletak di Negeri Sembilan itu untuk menerima rawatan selepas terlibat dengan kemalangan.

Oleh yang demikian, Achey memohon maaf sekiranya terlepas pandang hingga tidak melayan permintaan peminat untuk bergambar di waktu fikirannya sedang bercelaru.

@achey_kintangkintung

Replying to @Bobchew crawler ampun kak.. sebagai majikan kena uruskan banyak benda.. dia keluar dengan saya plak.. tak manis kalau saya tak fokus pada staff saya .. kepala pun bercelaru dah😅

♬ original sound – KEDAI ACHEY KINTANG KINTUNG – KEDAI ACHEY KINTANG KINTUNG

“Ampun kak. Sebagai majikan, saya kena uruskan banyak perkara. Dia (pekerja) pula keluar dengan saya. Jadi tak manislah sekiranya saya tak memberi tumpuan kepada pekerja.

“Kepala saya pun sudah bercelaru,” kata Achey memberi penjelasan kepada peminat terbabit menerusi ruangan kapsyen video yang dimuat naik di laman TikTok miliknya.

Achey turut menegaskan kedatangannya ke hospital itu bukan untuk membuat persembahan sebaliknya untuk menguruskan pelbagai perkara membabitkan pekerjanya.

“Perkara yang penting didahulukan. Saya ada kecemasan, bukan datang ke hospital buat ‘show’ (persembahan) kak. Saya kena uruskan pelbagai perkara. Maaf kalau terlepas pandang,” ulasnya.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna turut membalas komen peminat itu dengan peringatan supaya menilai keadaan sekeliling terlebih dahulu sebelum membuat permintaan kepada selebriti termasuk bergambar.

Ramai juga bersimpati dengan ‘cabaran’ yang terpaksa dihadapi oleh selebriti berikutan sentiasa dituntut untuk melayan peminat meskipun berada dalam keadaan tidak mengizinkan.

“Hampir 24 jam, asal jumpa peminat sahaja diminta untuk bergambar. Silap-silap kalau jumpa artis meninggal pun dia paksa ambil gambar,” kata seorang pengguna yang tidak senang dengan individu terbabit.

“Lain kali tengok tempat dan situasi dahulu sebelum nak ajak bergambar. Mereka juga adalah manusia macam kita.” Nasihat pengguna lain kepada para peminat.

Baca juga: Ini 5 kanak-kanak paling kaya di Malaysia, tak sangka ada terselit anak orang biasa-biasa