Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menegaskan kunjungannya ke Iran baru-baru ini membawa tugas penting untuk negara.
Beliau yang dipersoalkan ramai kerana tidak dapat bersama-sama masyarakat Hulu Langat ketika dilanda musibah banjir yang teruk pada 18 Disember baru-baru ini.
Dua hari lepas beliau kelihatan sibuk melawat rumah mangsa sebaik sahaja tiba ke tanah air.
Katanya, meskipun berada di Turki dan Iran beliau sentiasa mendapatkan maklumat terkini berhubung bencana di kawasannya itu.
Bahkan, beliau juga telah mengarahkan petugas daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat untuk membantu penduduk dan pasukan penyelamat di lokasi terjejas.
“Saya teruskan pertemuan dengan Timbalan Presiden Iran sebab saya bawa isu supaya Iran beli minyak sawit lebih banyak daripada negara kita.
“Ini kepentingan negara dan saya juga bawa isu untuk menurunkan cukai kerajaan Iran kepada minyak sawit daripada 40 peratus, saya usahakan kerajaan Iran kurangkan kepada 20 peratus.
“20 peratus itu adalah sama dengan cukai minyak soya dan minyak matahari. Ini (kunjungan ke Iran) adalah untuk kepentingan negara,” katanya dipetik Astro Awani.
Tambahnya, beliau pada asalnya mahu membatalkan program bertemu Timbalan Presiden Iran dan pulang ke Malaysia.
Begitupun, beliau tidak dapat berbuat demikian kerana penerbangan Tehran ke Kuala Lumpur hanya sekali dalam seminggu.
Jelas beliau, arahan untuk menghadiri sidang OIC dibuat atas kapasitinya sebagai ahli Parliamentary Friendship Group, Parlimen Malaysia.
Hasanuddin mendakwa, jemputan daripada Parlimen Pakistan dan Iran adalah disebabkan beliau seorang yang aktif dalam dunia kemanusiaan dan kebajikan di peringkat antarabangsa.
Difahamkan, Hasanuddin sejak sampai ke kawasannya melakukan banyak lawatan ke rumah-rumah mangsa terjejas, bertanyakan keperluan mangsa.