“Saya bukan sengaja nak jatuh cinta dengan suami orang, tapi memang sudah takdir hati ini memilih dia”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita sudah bernekad mahu memperjuangkan cintanya dengan suami orang sehingga sanggup mencari jalan terbaik untuk mengambil hati bakal madunya.

Difahamkan, suami orang itu telah mendedahkan status sebenar perkahwinannya kepada wanita terbabit selepas seminggu mereka berdua menjalani tempoh perkenalan.

Wanita itu bagaimanapun tetap terus berhubung dengan lelaki berkenaan sehingga timbul rasa sayang dan berikut perkongsiannya yang berniat mahu menjadi isteri kedua.

“Assalamualaikum semua. Saya mohon keluarkan kata-kata yang baik. Semoga yang baik-baik juga berbalik kepada anda semua. Bagi sebarang komen yang negatif pula saya faham dan maafkan awal-awal. Pertama sekali, coretan ini saya tuliskan untuk meminta pendapat pembaca yang sudah mendirikan rumah tangga.

“Saya nak bertanya, apakah cara terbaik untuk memujuk bakal madu supaya dapat menerima diri ini sebagai yang kedua? Saya berkenalan dengan seorang lelaki tanpa mengetahui status sebenar dia. Kami mula rapat selepas bersembang di dalam masa seminggu. Kami memang ‘cepat’ memahami satu sama lain.

“Selepas seminggu, barulah saya tergerak hati nak bertanya status lelaki itu. Dia jujur beritahu dirinya merupakan suami orang. Lelaki itu memang beritahu tentang niat dia mencari yang kedua adalah bersebab. Bagi sayalah, alasan yang diberikan lelaki itu untuk menikah satu lagi memang boleh diterima. Saya faham.

“Saya bukan nak mewajarkan perbuatan jatuh cinta dekat suami orang. Saya terima sahaja sekiranya sesiapa mahu mengutuk. Sebab saya tahulah, tiada perempuan yang akan sokong mengenai isu ni. Kenapa tak pilih yang bujang? Sebab hati saya yang memilih dia. Jawapan ini memang klise, tetapi memang sudah takdir.

“Saya juga tak pernah terdetik daripada awal untuk jatuh cinta dengan suami orang. Tetapi siapalah kita untuk melawan takdir. Saya tahulah perbuatan ini salah. Berbalik kepada tujuan asal coretan ini, saya sekarang di dalam proses mencari masa yang sesuai untuk bersua muka dan jujur dengan isteri dia.

“Insya-Allah, dalam masa yang terdekat. Cuma, saya juga tertanya. Kalau permintaan saya ditolak oleh isteri beliau, apakah yang perkara patut saya lakukan untuk memujuk dan lembutkan hatinya? Sekiranya adalah pembaca yang berlapang dada, bolehlah berikan pandangan dengan meninggalkan komen untuk mudahkan urusan saya.

“Untuk yang tertanya-tanya tentang kemampuan suami orang itu, Insya-Allah saya tahu dia mampu. Saya juga masih bekerja untuk diri sendiri. Beliau juga bukan lelaki kaki pukul, jenis yang boleh diajak berbincang dan tahu agama. Belum pernah lagi saya dengar perkara yang tak baik keluar dari mulut lelaki itu tentang isterinya.

“Setakat ini, itu sahajalah daripada saya. Semoga adalah nasihat yang boleh saya kutip dan amalkan daripada komen diberikan kalian nanti. Terima kasih.” Kongsi wanita terbabit meminta bimbingan untuk mengambil hati bakal madunya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Lebih setahun kes penceraian berlarutan, Puteri Zarith akui sudah penat, mahu ia cepat selesai