Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut, kata Guan Eng

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Lim Guan Eng ketika keluar dari mahkamah pagi tadi dikerumuni penyokong dan pihak media.

Lim Guan Eng akan meneruskan tugasnya sebagai ketua menteri Pulau Pinang dan urusan pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa sehingga tempoh menunggu sebutan semula kes rasuah membabitkan dirinya pada 22 September ini.

Guan Eng berkata ia akan diputuskan dalam mesyuarat parti dalam masa terdekat.

“Buat sementara waktu urusan pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa…parti akan mesyuarat,” katanya pada sidang media selepas selesai pertuduhan terhadap dirinya di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP menyifatkan pertuduhan itu sebagai penganiayaan terhadap dirinya dan usaha pihak tertentu untuk menghancurkan karier politiknya.

“Saya tetap akan lawan hingga ke akhirnya. Apa yang dilakukan terhadap saya adalah serangan semata-mata untuk tujuan politik.

“Dengan pertuduhan ini Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat pecahkan perpaduan parti saya atau perpaduan Pakatan Harapan. Kami akan berdiri, berjuang bersama.

“Kalau BN rasa boleh patahkan saya dengan menangkap saya mereka silap, mereka tidak boleh hancurkan semangat saya. Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut,” katanya.

Terdahulu, Lim mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Semalam, Lim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 28 bangunan Komtar pada pukul 5.45 petang, manakala Phang ditahan pada pukul 4.15 petang di pejabatnya di Tingkat 6, Penang Garden.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan perkembangan yang berlaku sekarang.

“Saya tidak boleh komen lagi. Saya kena beri taklimat kepada semua exco dulu dalam mesyuarat kerajaan negeri sebelum saya boleh membuat kenyataan kepada media,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas sama ada Lim perlu bercuti atau tidak daripada tugasnya sementara kes rasuah itu dibicarakan di mahkamah.