Anak perempuan kepada pelawak dan usahawan, Shuib iaitu Thalita baru-baru ini berjaya mencuri perhatian ramai selepas membuat kemunculan pertama sebagai penyanyi dalam satu persembahan secara ‘busking’ di ibu kota.
Namun siapa sangka, keinginan anaknya yang secara tiba-tiba bersetuju untuk bernyanyi di khalayak ramai itu turut menimbulkan persoalan bagi Shuib hingga membuatkan pelawak itu bertanyakan sendiri kepada Thalita.
Menerusi satu sesi siaran langsung di laman TikTok, Shuib bertanya sekiranya pemilik nama sebenar Dzahira Talita Zahra itu mengalami mimpi sebelum memutuskan untuk menjadi penyanyi.
Namun jawapan kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun itu benar-benar menyentuh perasaan berikutan bukan sahaja membuat bapanya terharu malah turut terkesan di hati orang ramai.
Kanak-kanak yang mesra disapa Dekta itu menjelaskan bahawa dirinya tidak memiliki sebarang sebab tertentu untuk menjadi penyanyi sebaliknya mahu orang ramai kembali menghargai bapanya.
“Tak ada pun (mimpi). Disebabkan orang tak suka dengan Daddy, jadi saya nak buat orang suka pada Daddy semula dengan menyanyi. Daddy pun selalu minta kami untuk doakannya,” katanya dalam sesi siaran langsung itu.
Sesi siaran langsung berkenaan sempat dirakam sebelum dikongsikan semula oleh pengguna TikTok dalam bentuk rakaman berdurasi lebih satu minit yang dimuat naik di plattform tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna TikTok merasa terharu mendengar luahan ikhlas anak kedua daripada empat adik-beradik terbabit selain memuji kasih sayang Thalita kepada bapanya yang kerap menerima kecaman.
Ramai juga individu tampil memberi peringatan kepada pengguna media sosial tempatan untuk lebih berhati-hati meninggalkan komen yang berunsur kritikan agar tidak keterlaluan hingga menjejaskan orang lain terutamanya terhadap emosi kanak-kanak.
“Sebab itulah jangan tulis komen yang bukan-bukan. Anak-anak kecil ini boleh membaca. Tidak kiralah komen itu ditujukan kepada siapa. Sedihnya. Mesti sedih anak-anak baca ibu bapa dikecam macam itu,” kata seorang pengguna.
“Aku keluar air mata apabila anak Shuib cakap macam itu. Orang tak suka ayah dia. Jadi dia nak orang suka ayahnya semula. Itulah hati dan perasaan seorang anak. Kongsi pengguna lain.
Terdahulu, anak kepada penyanyi popular iaitu arwah Siti Sarah itu tampil membuat kemunculan pertama di Bukit Bintang yang mana rakaman ketika mendendangkan lagu arwah ibunya, Kesetiaan tular di media sosial.
Baca juga: “Ramai datang Bukit Bintang sebab nak tengok Thalita, sekali DBKL yang dapat untung”