Saya nak cari balik cikgu cina yang bantu bayarkan yuran universiti saya 36 tahun lepas

Oleh WAN SITI AMINAH

Hasrat seorang gadis untuk sambung belajar ke peringkat universiti hampir terkubur berikutan datang dari keluarga yang susah.

Namun, dengan bantuan serta sokongan moral yang diberi oleh seorang guru Kimia, gadis itu berjaya memenuhi hasratnya.

Guru berbangsa Cina yang bernama Pak Lin Haw membantu gadis itu untuk memohon bantuan dari sekolah bagi membayar yuran.

Tidak cukup dengan itu, guru tersebut sanggup mengeluarkan wang dari poketnya sendiri demi memastikan anak didiknya berjaya suatu hari nanti.

“Terhutang budi sebab dia salah seorang yang paling kuat sokong masa nak masuk UTM (Universiti Teknologi Malaysia).

“Dah nekad nak berhenti belajar sebab keluarga tak mampu. Dia (cikgu) sanggup keluarkan duit dia,” luah Norasiah Jamil.

Setelah 36 tahun berlalu, Norasiah yang kini sudah berjaya bergelar usahawan ingin menjejaki semula gurunya yang telah banyak berkorban itu.

Dengan kuasa ‘viral’, usahawan itu berjaya berjumpa semula dengan insan yang telah mengubah hidupnya itu melalui sosial media.

“Baginya, itu (bantuan) adalah perkara yang kecil. Namun tindakannya mengubah kehidupan saya,” katanya yang telah berjaya menghubungi guru tersebut.

Baca juga: Mangsa eksiden sempat berselfie lepas king Myvi bertembung sesama sendiri jadi bahan ketawa netizen