Akaun media sosial milik ibu kepada pengarah kontroversi, Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail menjadi tumpuan ramai susulan khabar penceraian anaknya tersebar.
Terbaharu, Patimah telah mengulang siar satu hantaran iaitu petikan kata-kata puitis dipercayai ditujukan kepada si anak daripada insan bergelar ibu menerusi Instastory.
Walaupun Patimah tidak menyebutkan nama mana-mana individu, namun pengguna media sosial berpendapat bahawa petikan tersebut dituju kepada anaknya, Syamsul.
“Saya yang melahirkan awak, orang pertama yang cintakan awak, masih dan akan sentiasa sayangkan awak,” tulis petikan yang diulang siar oleh Patimah yang juga isteri kepada pengarah dan penerbit terkenal, Yusof Haslam itu.
Hantaran tersebut didakwa melambangkan perasaannya sebagai seorang ibu malah netizen mendakwa mereka memahami mesej yang mahu disampaikan oleh Patimah.
Terdahulu, Syamsul Yusof dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya iaitu Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada Isnin lalu.
Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul mengesahkan perkara itu selain turut memaklumkan tarikh sebutan kes untuk permohonan tersebut masih belum ditetapkan oleh pihak mahkamah.
Sementara itu, Patimah ketika diminta mengulas berita mengenai penceraian Syamsul telah memanjatkan kesyukuran sekiranya khabar tersebut benar seperti dilaporkan.
Menyifatkan kejadian yang telah berlaku sebelum ini seperti ‘nasi sudah jadi bubur’, Patimah turut mengakui telah memaafkan keluarga Ira yang juga menantunya itu.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Jika benarlah berita ini, saya amat bersyukur. Semoga Syamsul kembali ke jalan yang benar. Namun, nasi sudah jadi bubur dan rumah tangga Puteri Sarah Liyana dan Syamsul hancur. Anak-anak jadi mangsa,” katanya.
Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul pernah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Summayah yang kini berusia lima tahun.
Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai talak satu selepas lapan tahun berumah tangga pada 14 Jun 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Perceraian difailkan oleh Puteri Sarah selepas Syamsul mendedahkan dirinya telah menikah sekali lagi dengan Ira Kazar atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin pada 6 Januari, tahun lalu.
Dengan berwalikan bapa Ira sendiri iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi, mereka berdua sah menjadi suami isteri selepas menikah secara rahsia di Selatan Thailand.
Baca juga: Syamsul Yusof, Ira Kazar didakwa bakal bercerai, terkejut dengar respon Yusof Haslam