Saya sebut jalur pemikiran ekstrem, kata Mujahid nafi tuduh PAS jadi ISIS

Oleh BORHAN AHMAD

 

Bekas ahli jawatankuasa PAS, Datuk Mujahid Yusof Rawa menafikan beliau menuduh parti itu mengamalkan ideologi ekstremisme ala Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Mujahid sebaliknya berkata, beliau menyebut secara umum tentang tindakan ekstrim yang berlaku sama ada di negara atau di luar negara akhir-akhir ini termasuk insiden pengeboman di Paris.

“Saya tidak menyebut pun dalam kenyataan rasmi apa-apa tentang PAS. Yang saya sebut ialah jalur pemikiran yang boleh dianggap ekstrem, membahayakan umat Islam khususnya yang dibawa penceramah agama.

“Tiba-tiba keluar dalam media sosial kata saya kata PAS ini ISIS,” kata beliau ketika ditemui di Parlimen semalam.

Antara individu yang memberi respons kepada kenyataan Mujahid ialah setiausaha politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, Mujahid menyebut PAS dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak ekstrim apabila melabelkan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan nama yang menggambarkan budaya ISIS.

“Kelakar sungguh. Tindakan MP Parit Buntar yang melarikan kerusi yang ditandingi oleh beliau sebagai ahli PAS, watikah dari PAS, kerja penat ahli PAS dan rakyat di kawasan beliau yang tidak mengimpikan jawatan dan pangkat itulah sebenarnya satu tindakan ekstrem, ganas, pentingkan diri dan pelampau.

“Takkanlah tindakan khianat seperti itu hendak dipanggil dengan nama nama yang cantik comel,” tulisnya di facebook.

Menurut Mujahid yang kini menyertai Amanah, beliau mengadakan sidang media pada Selasa lalu berhubung isu ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjawab soalan beliau mengenai tindakan kerajaan menangani budaya ekstremisme.

“Saya buat sidang media selepas soalan saya mengenai tindakan kerajaan menangani budaya ekstremisme dijawab dalam dewan. Dalam bajet 2016 pun saya sebut isu ini.

“Kebetulan ada beberapa insiden di Terengganu, ahli Amanah diugut dan dikasari. Jadi saya sebut secaa umum,” kata beliau yang juga ahli Parlimen Parit Buntar.

Beliau juga menggesa semua pihak memberi tumpuan kepada isu  ideologi ekstrimisme yang semakin menular, bukan menyerang peribadi.

“Saya takut isu sebenar yang memang bahaya kepada masyarakat tidak ditumpukan tapi isu picisan yang lebih menyerang peribadi,” katanya.

Dalam sidang media Selasa lalu, Mujahid menggesa Jawatankuasa Mendepani Ideologi Ekstrimisme ditubuhkan di peringkat parlimen.