PAS akan meneruskan tugas dalam mendesak Umno menggugurkan dasar nasionalismenya dan menerima perjuangan Islam. Dan ini hanya boleh berlaku dengan PAS terus menjadi saingan kepada Umno.Inilah jalan parti itu, demikian tegas, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kata Tuan Ibrahim lagi, Najib menyatakan hasrat melaksanakan pemerintahan negara berlandaskan syarak,tentunya khabar gembira kalau ia benar-benar lahir dari keinginan yang bersungguh-sungguh Perdana Menteri. Sebagai parti yang sedang memerintah beliau mesti membuktikan hasrat tersebut dengan merintis perubahan kepada keadilan sosial dan ekonomi rakyat.
“PAS tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada agama. Lebih 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.
“Cara menyelamatkan Umno bukan dengan memberikan talian hayat dan sokongan kepada parti itu untuk terus melakukan penyelewengan tanpa rasa bersalah. Umno mesti disedarkan dengan ancaman bahawa mereka akan ditolak rakyat jika meneruskan cara pemerintahan yang sedia ada.
Beliau juga berasa hairan setiap kali, panggilan penyatuan berlaku tatkala pihak yang diamanahkan berkuasa kelihatan tenat dan bergoyah yang menjadi punca perpecahan di kalangan orang Melayu beragama Islam di negara ini.
Katanya, isu penyatuan kembali hangat apabila Umno melalui ucapan Presidennya Datuk Seri Mohd Najib Razak mahu menghulurkan tali silaturrahim mengajak PAS bersama membina negara berteraskan syariah di tengah-tengah perhatian rakyat sedang menyaksikan perbalahan antara beliau bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tidak pernah lagi suara penyatuan dilaungkan ketika mereka yang berkuasa dalam keadaan selesa.
“Dari sudut politik, ada yang menuduh pertembungan antara PAS dengan Umno dilihat menjadi punca.
“Bukankah PAS pernah bersama Umno-BN di tahun 1970an? Namun, PAS dikhianati, negeri Kelantan jatuh ke tangan Umno sebelum Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menerima mandat rakyat Kelantan untuk memerintah sejak 1990 hingga hari ini, ketika itu Umno kuat.
“Tiada sesiapa yang mengajak perlunya PAS-Umno bersatu tatkala Umno terus melakukan pelbagai diskriminasi terhadap kerajaan negeri Kelantan.
“Sejarah PAS yang panjang membuktikan bahawa PAS merupakan parti yang sanggup mengadakan tahaluf siyasi dengan semua pihak. Selagi mana ia tidak dikhianati, PAS akan menjaga kerjasama dan muafakat tersebut.
“PAS pernah bekerjasama dengan Parti Negara. PAS pernah juga menyertai BN. PAS pernah bersama S46. PAS pernah bersama BA. PAS bersama PR. Dan kini PAS bersama PKR. Inilah keanjalan politik PAS yang inklusif berbanding parti-parti lain,” ujarnya yang merujuk kepada kesedian parti itu bekerjasama dengan parti lain sepanjang penubuhannya.
Tuan Ibrahim sangkal dakwaan MT Umno
Tuan Ibrahim turut menyangkal dakwaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang memberi bayangan seolah-olah wujud dua orang yang menentang kerjasama Pas dengan Umno iaitu dirinya dan juga Naib Presiden, Datuk Iskandar A. Samad.
“Beliau maksudkan iaitu Timbalan Presiden (saya) dan Naib Presiden PAS (yakni merujuk kepada YB Iskandar Samad).
“Saya ingin mengingatkan beliau bahawa keseluruhan pimpinan PAS tidak pernah menentang sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak kerana ianya adalah perintah Allah.
“PAS menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “ Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan. Inilah prinsip Islam yang menjadi pegangan PAS,” ujarnya sebagaimana dipetik dilaman facebook beliau hari ini.
Tuan Ibrahim menyebut PAS sedia kerjasama dalam menentang kemungkaran pemerintah, rasuah, salah urus tadbir negara, kezaliman, penganiayaaan, perjanjian yang tidak ditepati dan berat sebelah yang menyusahkan rakyat serta sistem federalisme yang tidak dilaksanakan.
“Atas dasar inilah PAS sanggup mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak. Namun kerjasama ini bukanlah bermakna PAS harus korbankan dasar dan perjuangan demi mencapai kemenangan politik pilihan raya sahaja.
“Perlu diingatkan, jalinan dan kerjasama hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah sebahagian daripada sistem federalisme yang tidak boleh dicampur-adukkan dan diklasifikasikan sebagai kerjasama politik antara dua parti.
“Cuma ada sebilangan pemimpin Umno yang keliru akan perkara ini, mungkin kerana telah biasa dengan sistem federalisme yang telah dirosakkan oleh Umno sendiri,”terangnya.