Pendekatan dakwah berterusan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah perlu bagi menangani penularan gejala itu, tegas Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, Amanah tidak mengiktiraf gaya hidup LGBT namun pendirian inklusif Amanah akan mendekati mereka supaya golongan ini tidak berasa dipinggirkan tanpa sebarang usaha menyedarkan mereka.
“Hanya dengan mendekati mereka kita dapat terangkan apa yang salah dan apa yang dibenarkan.
“Pendirian inklusif Amanah menuntut kita bertemu dengan golongan itu. Kita tidak mengiktiraf (gaya hidup) mereka, tetapi menerima keberadaan mereka dalam masyarakat kita,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Pada 5 Disember lalu, sebuah portal berita telah salah memetik dan salah melapor kenyataan Dr Dzulkefly.
Laporan bertajuk “Amanah sedia dekati LGBT” itu mengundang persepsi yang salah terhadap parti itu.
Beliau ditemui wartawan portal tersebut di forum Islam dalam Demokrasi Berpelembagaan di ibu negara Sabtu lalu.
Dr Dzulkefly juga berkata, dakwah merupakan jalan terbaik berbanding kekerasan terhadap LGBT.
“Berikan dakwah. Itu peranan kita. Berikan pencerahan pada dia, berikan masa kepada dia supaya bertaubat,” kata beliau.
Beliau seterusnya memetik ayat Al-Quran yang menjanjikan hukuman neraka buat mana-mana golongan yang terus bergelumang dalam salah laku.