‘Saya yakin PH boleh cipta kejutan di Johor’

Oleh ARIF ATAN

Peluang Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan masih ada walaupun diakui gabungan parti itu berdepan laluan sukar.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda yakin PH mampu kembali menawan Johor berdasarkan rekod pencapaian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan komposisi pengundi negeri di selatan Semenanjung itu.

“Saya setuju bahawa laluan sukar untuk PH di Johor tetapi sebenarnya peluang PH dalam PRN Johor sebenarnya lebih baik berbanding pencapaian PH dalam PRN Melaka beberapa bulan lepas.

“Pertamanya, undi PH di Johor dalam PRU-14 adalah 59 peratus berbanding di Melaka hanya sekitar 52 peratus.

“Undi BN pula hanya 33 peratus berbanding 37 peratus di Melaka. Undi Pas pula hanya 8 peratus berbanding 11 peratus di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pakatan Harapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ketua Pemuda AMANAH Nasional Hasbie Muda
Hasbie Muda

Faktor kedua, kata bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada mantan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu ialah peratusan pengundi Cina yang tinggi di Johor.

Jelasnya, peratus pengundi di negeri itu agak tinggi dengan mencecah 39 peratus berbanding 34 peratus di Melaka.

“Berbanding PH Melaka yang hanya menang tipis, PH Johor sebenarnya menang besar dalam PRU-14 iaitu 36 kerusi daripada 56 kerusi,” ujarnya.

Seramai 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor yang dianggarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menelan kos sebanyak RM96 juta.

Mengulas lanjut, Hasbie berpendapat cabaran utama PH di Johor adalah kadar keluar mengundi pengundi Cina khususnya yang bekerja di luar negeri itu.

“Jika mereka pulang beramai-ramai, tidak mustahil PH akan kembali menawan negeri ini,” katanya.

Walaupun mengakui Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang akan memecahkan undi tetapi, ujarnya, jika mereka banyak menarik undi BN berbanding tarik undi PH, kelebihan sebenarnya pada PH.

“PRN Melaka sebenarnya menunjukkan dengan jelas bahawa sokongan rakyat kepada BN masih tidak bertambah. Pengundi BN yang lari dalam PRU-14 belum kembali kepada BN,” katanya.

Sehubungan itu, Hasbie yakin PH masih mempunyai peluang untuk memenangi PRN Johor.

“Hanya tinggal sejauh mana kesungguhan jentera dan keberkesanan kempen dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Saya yakin PH boleh cipta kejutan di Johor. Mudah-mudahan,” tambah Hasbie lagi.