Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yakin partinya tidak akan memecat beliau hanya kerana menyertai majlis makan malam anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) yang menjadi musuh PAS.
“Saya yakin parti saya parti yang baik. Parti saya takkan pecat saya sebab hadir untuk nasihat Amanah.
“Walaupun saya hadir di program parti yang berlainan, saya hanya menurut presiden parti saya yag juga hadir bersama program dengan pemimpin parti lain,” kata Husam ketika menjadi pemidato utama di majlis makan malam anjuran Amanah Kelantan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.
Dalam ucapan itu, Husam juga berharap presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjumpa dengan pemimpin Umno untuk menasihati parti itu agar jangan korup.
“Saya harap presiden parti saya nasihatkan Umno tentang korupsi dan salah guna kuasa,” katanya.
Bagi Husam, PAS perlu balik kepada visi dan misi bekas Mursyidul Amnya, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.
“Jangan hancurkan visi misi yang telah dibina oleh beliau yang memakan masa puluhan tahun. Visi misi beliau adalah reform dan menentang perkauman,” kata Husam.
Katanya, PAS perlu kembali kepada apa yang diharapkan oleh Nik Aziz.
“Beliau nak lihat PAS jadi imam dalam negara, bukan jadi makmum, bukan jadi tongkat, hamba kepada Umno BN,” kata Husam.
Oleh itu, katanya, selagi BN tidak kembali kepada Islam yang syumul, kewajipan semua pihak adalah menggantikan BN.
Husam juga mengumumkan akan membuat majlis Solat Hajat Bebaskan Anwar di kawasannya iaitu Kubang Kerian, Kelantan.
“Kita harap, Anwar akan bersama-sama kita untuk melawan BN menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Saya harap orang Amanah juga hadir selepas saya hadir majlis mereka,” kata Husam.