Sayap pemuda Putra buat laporan polis terhadap Azam Baki

Oleh ARIF ATAN

Sayap pemuda Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini membuat laporan polis menggesa penyiasatan yang bebas dan telus terhadap dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, timbul keraguan orang ramai berhubung akaun saham yang dimiliki Azam.

Menurutnya, semua penjawat awam perlu mengemaskini pengisytiharan segala aset dan harta setiap lima tahun sekali.

“…paling mustahak adalah perlu dinyatakan dengan jelas sumber dana yang digunakan untuk memiliki harta terbabit,” katanya dipetik dari laporan polis yang beliau kemukakan.

Beliau juga berpendapat jika benar saham tersebut milik Nasir iaitu adik Azam, perlu dinyatakan dengan jelas mengapa perlu guna nama Azam Baki yang merupakan penjawat awam melainkan wujud konflik kepentingan beliau terhadap saham terbabit.

Dalam hal berkaitan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meminta Azam Baki dan semua pihak yang terbabit memberi penjelasan berhubung kontroversi tersebut.

Semalam, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Azam memberitahu mesyuarat khas LPPR pada 24 November lalu bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya untuk membeli sejumlah saham pada 2015 yang dibuat di pasaran saham terbuka.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham itu pada 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.