SD tak boleh halang lompat parti, DAP tempelak BN

Oleh BORHAN AHMAD

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan diberikan ingatan bahawa akuan bersumpah (SD) tidak boleh menghalang sesaorang wakil rakyat yang dipilih untuk melompat parti.

Ingatan itu diberikan oleh wakil rakyat senegeri beliau yang juga ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

“Tok Mat, SD tu tak boleh pakai untuk menghalang wakil rakyat lompat parti.

“Yang hanya boleh dikuatkuasakan ialah Akta Anti Lompat Parti yang diiluluskan di Parlimen selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan,” kata Loke mengulas kenyataan Timbalan Presiden Barisan Nasional itu.

Mohamad mengumumkan semalam, semua calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani akuan bersumpah (SD) sebagai bukti mereka kekal setia kepada parti selepas memenangi pilihan raya kelak.

Bagi tujuan itu pihaknya melalui peguam parti sedang membuat persiapan untuk membolehkan semua calon menandatangani SD sejurus selepas pengumuman rasmi calon PRN, yang dijangka akan dibuat hari ini.

“Kita sedang buat persiapan pasukan peguam untuk meneliti tahap kesetiaan semua calon bagi memastikan tiada lagi seseorang yang menang atas tiket BN melompat (keluar parti) bagi kestabilan politik di negara, terutamanya di Melaka,” kata beliau kepada media semalam.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP itu, Tok Mat sendiri pernah menerima katak politik semasa penggal pertama beliau menjadi MB Negeri Sembilan iaitu bekas ADUN Bahau yang menang atas tiket DAP pada PRU tahun 2004 dan lompat ke BN pada tahun 2007.

“Selepas ini, saya harap semua parti sama-sama menyokong penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen.

“Biarlah politik ini ada maruah sikit,” kata Loke.

Tok Mat mengakui langkah menandatangani SD ini perlu kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum ada lagi akta atau enakmen lompat parti.

“Beberapa lagi dokumen perjanjian lain akan ditandatangani semua calon esok dan satu daripadanya SD itu sebagai peringatan jika sudah menang pilihan raya nanti, jangan senang-senang nak lompat parti pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan DUN angkat membabitkan Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau kepada UMNO Negeri Sembilan, di Kampung Pulau, di sini, semalam.