Baru-baru tular di media sosial satu rakaman memaparkan pergaduhan melibatkan penyanyi, Hafiz Suip dengan seorang individu di Kuching, Sarawak.
Namun susulan tularnya rakaman kejadian di tengah jalan raya itu, Hafiz dan individu berkenaan difahamkan telah menyelesaikan salah faham antara mereka secara baik.
Perkara itu dikongsikan oleh sahabat Hafiz dikenali sebagai Uthman Daud menerusi hantaran gambar dan video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, semalam.
Dalam rakaman tersebut, penyanyi itu dilihat sudah bersemuka dengan lelaki terbabit sebelum bersalaman dan juga berdamai dengan kedua-duanya mengakui kesilapan.
Individu itu mengakui kekhilafannya mengeruhkan keadaan manakala Hafiz berkata sebagai seseorang yang lebih muda, dia seharusnya memohon maaf terlebih dahulu.
“Kita kasi tenang (beritahu) sebenarnya kita tiada apa pun (pergaduhan). Saya juga mengaku salah. Saya pun marah, ada buat sesuatu yang ‘uncle‘ tak suka. Jadi saya minta maaf.
“Sebagai seorang yang lebih budak (muda) daripada ‘uncle’ saya minta maaf,” kata penyanyi berusia 34 tahun terbabit dalam video yang dimuat naik oleh rakannya itu.
Individu berusia itu kemudian menghulurkan tangannya untuk bersalaman sebelum disambut oleh pelantun lagu popular, Awan Nano yang turut terlihat menciumnya.
Lalu pak cik itu berkata, “Ini macamlah.. kira nasiblah hari ini”, malah mereka berdua juga dilihat saling berpelukan pada penghujung video sebagai tanda pendamaian.
Rakaman tersebut bagaimanapun dipadam oleh Uthman selepas menerima nasihat daripada pihak berkuasa berikutan kes tersebut masih berada dalam siasatan polis.
Terdahulu, Uthman tampil memberi penjelasan di akaun Facebook miliknya dengan berkongsi kronologi kejadian pergaduhan yang tercetus selepas solat Jumaat itu.
“Assalamualaikum, mungkin ada yang tertengok video pergaduhan Hafiz Suip yang berlaku selepas Jumaat tadi. Oleh kerana video yang tersebar hanya sekejap, biarlah saya terangkan kronologi.
“Selepas solat Jumaat, kami dalam perjalanan untuk membeli hamper hadiah untuk ziarah rumah keluarga peminat Hafiz yang sudah meninggal dunia kerana semalam merupakan hari ke-100 pemergiannya.
“Ketika di dalam perjalanan, ada sebuah kenderaan yang mencucuk dari belakang. Maka provokasi pun berlaku daripada kedua belah pihak. Kemuncaknya adalah apabila pemandu tersebut mula menghalang laluan dan berhentikan kereta kami.
Walau bagaimanapun, situasi yang berlaku di tengah jalan itu bertambah serius apabila Hafiz didakwa dikasari dan diserang dengan serbuk lada ketika kejadian.
“Kemudian kedua-duanya tengah marah dan keluar dari kereta. Tiba-tiba pemandu tersebut sembur muka Hafiz dengan ‘pepper spray’. Saya cuba leraikan keadaan, tetapi pemandu tersebut masih meluru ke arah Hafiz.
“Dalam keadaan saya cuba leraikan keadaan, saya juga disiku dan disembur (serbuk lada) hingga sesak nafas. Jadi saya sendiri pun melepaskan tumbukan selepas melihat dia terlalu agresif.
“Sekarang kami masih di hospital untuk menerima rawatan kerana kulit masih pedih.” Jelas Uthman Daud menceritakan kronologi kejadian tersebut susulan rakamannya tular di media sosial.
Baca juga: Hubungan dah terputus, Yusof Haslam akui tahu perkembangan anak melalui sosial media sahaja