Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, keengganan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan bertentangan dengan sistem semak imbang perlembagaan negara.
Kata beliau, amat tidak kena Peguam Negara boleh menjadikan negara sebagai tebusan atas keengganan beliau meletakkan jawatan sedangkan telah berlaku perubahan kerajaan dan beliau sendiri telah kehilangan keyakinan awam.
“Inilah sebabnya Malaysia Baharu masuk ke minggu keempat tanpa seorang pegawai paling penting – Peguam Negara – terutama pada masa perlunya perubahan struktrur dan institusi dalam negara bagi menetapkan semula dasar serta arah tuju.
“Benar kata MP AMANAH Sepang, Hanipa Maidin bahawa kuasa yang diberikan kepada peguam negara untuk menentukan, bukan untuk memulakan prosiding jenayah, tidak dapat melindungi si penjenayah sekiranya beliau didapati menyalahgunakan peruntukan kuasa itu untuk melindungi penjenayah,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.
Jelas Kit Siang, sama ada Apandi Ali wajar dituduh melakukan jenayah kerana menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan sebagai Peguam Negara adalah persoalan lain daripada isu keengganan beliau meletakkan jawatan apabila berlaku perubahan kerajaan dalam pilihan raya umum.
Tambahnya, adalah jelas bahawa selain bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak, Peguam Negara juga tidak lagi dipercayai dan telah ditolak oleh pengundi.
Katanya lagi, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull bahawa siasatan SPRM dan Jabatan Keadilan AS (DOJ) adalah “hampir sama” telah memulihkan kewibawaan dan kesahan litigasi DOJ berhubungan skandal pengubahan wang haram antarabangsa oleh 1MDB, sekali gus memburukkan lagi posisi serta kewibawaan Apandi.
Apandi juga kata beliau, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.