Penyanyi lagenda negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali meraih perhatian ramai setelah menyanyikan lagu baharu keluarannya yang bertajuk Nadi.
Mana tidaknya, artis yang cukup terkenal dengan bakat luar biasa itu gagal menahan rasa sebak sehingga menitikkan air mata ketika menyanyi lagu tersebut.
Tidak dapat menyampaikan lagu dengan sempurna, penyanyi yang mesra dikenali sebagai Tokti itu mengaku menangis kerana teringatkan anak sulungnya, Siti Aafiyah.
Sangat berkait rapat dengan Aafiyah, lagu terbaharu berjudul Nadi itu rupa-rupanya mempunyai kisah tersendiri buat pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin.
Pertama kali menyampaikannya secara langsung, lagu itu dinyanyikan Tokti ketika menghadiri sidang media pelancaran album Sitism pada petang Rabu (semalam).
Tular di media sosial, kejadian tersebut sempat dirakam dan dikongsi menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok milik stesen televisyen, Astro Awani.
“Saya teringat Aafiyah. Saya minta maaf, saya tak boleh,” jelas Tokti yang sebak dan tidak dapat meneruskan semula nyanyiannya.
Mengundang perbincangan hangat, rata-rata pengguna yang menonton video tersebut berkongsi rasa simpati mereka terhadap penyanyi nombor satu negara itu.
Hal ini kerana, ramai peminat berpendapat bahawa lagu Nadi itu menggambarkan perjuangan Siti Nurhaliza selama 11 tahun untuk mendapatkan zuriat.
“Siti mesti menangis sebab teringatkan anak, lagu ini bertajuk Nadi. 11 tahun penantian zuriat. Anak-anak adalah nadi Siti,” kongsi seorang penonton.
“Ya Allah, inilah kali pertama tengok Tokti menyanyi rosak habis. Tetapi tidak mengapa. Kita faham, soal zuriat memang sensitif.” Kata peminat lain.
Untuk rekod, Tokti menamatkan zaman bujangnya pada 21 Ogos 2006 lalu selepas mendirikan rumah tangga bersama tokoh korporat, Datuk Khalid Mohamed Jiwa.
Setelah sekian lama menanti, penyanyi lagu Comel Pipi Merah itu akhirnya selamat melahirkan anak sulung, Siti Aafiyah pada Mac 2018 lalu.
Baca juga: Kerap ambil steroid punca bercerai, bekas suami siap ‘angkat tangan’ bila ditolak ajakan bersama