Seorang wanita tidak pernah menyangka bakal menyesali keputusan yang diambil untuk mendirikan rumah tangga dengan suami pilihannya sendiri.
Wanita dikenali sebagai Diana itu mengakui telah tersilap langkah kerana memutuskan untuk menikah atas dasar cinta yang begitu mendalam meskipun dirinya telah dikasari.
Sedar segalanya sudah terlambat, berikut perkongsian Diana yang mahu kisahnya diambil sebagai pengajaran kepada wanita di luar sana sebelum memutuskan untuk berkahwin.
“Aku sudah berkahwin selama empat bulan. Tetapi mak dan bapak aku yang tinggal di kampung tak tahu mengenai perkahwinan ini. Aku berusia 23 tahun dan suami aku pula berumur 35 tahun. Aku kenal suami melalui aplikasi ‘dating’. Ketika itu, umur aku 19 tahun. Sebelum berkahwin, kami bercinta selama tiga tahun.
“Kami buat keputusan menikah di sempadan Thailand. Sebabnya mak dan bapak tak restu hubungan aku dengan lelaki tua. Mula-mula kenal, suami aku memang sangat baik. Nampak macam seorang yang penyayang dan lembut. Tetapi masuk ke tahun kedua, dia mula tunjuk perangai dekat aku. Dia kongkong aku.
“Suami tak benarkan aku keluar dengan kawan. Kadang-kadang, aku nak pergi kelas pun kena minta izin dia. Kalau tak izin, memang aku terpaksa ambil cuti sakit. Kalau marah dia, aku yang akan kena balik. Mula-mula itu ikut juga cakap dia, tetapi lama-kelamaan aku rasa terkongkong sampai terpaksa menipu.
“Suatu hari itu aku cakap duduk asrama, tak keluar ke mana-mana. Padahalnya aku keluar dengan kawan-kawan ke pusat beli belah. Entahlah macam mana dapat tahu, dia datang ke situ juga dan bawa aku balik. Sebelum datang, dia siap hantar mesej suruh aku tunggu dekat pintu depan. Masa itu aku sudah takut.
“Memang suami marah sangat dekat aku sebab tipu dia. Masuk sahaja dalam kereta dia tinggikan suara dekat aku. Untuk pertama kalinya, dia tampar dan hentak kepala aku dekat ‘dashboard’. Aku menangis tetapi suami langsung tak kisahkan aku. Bukan setakat hentak kepala sahaja, dia siap tumbuk perut aku.
“Aku takut gila masa suami buat macam itu. Perut aku senak sangat. Hampir 20 minit dia tak berhenti tengking dan marah aku. Selepas itu dia minta maaf sebab memukul dan menengking aku. Masa itu, aku maafkan dia. Aku juga minta maaf sebab sudah menipu. Aku ingatkan, itulah kali terakhir dia marah dan naik tangan.
“Rupanya, perangai suami semakin teruk. Dia suruh aku ‘block’ (sekat) serta padam semua nombor lelaki di dalam telefon termasuklah ahli keluarga. Aku pun ikut sahaja. Aku semakin terkongkong dengan sikap dia. Semasa aku ikut latihan industri pun dia tak benarkan aku dengan lelaki di tempat kerja.
“Pernah sekali waktu balik, suami ternampak ada pekerja lelaki tegur aku. Masuk di dalam kereta, dia tuduh macam-macam dan pukul aku. Paling tak tahan, dia tuduh aku buat perkara tak senonoh dengan lelaki itu. Siap panggil aku sundal dan wanita murahan. Sakit hati aku kena pukul dan dituduh macam-macam.
“Semenjak dari itu, aku tak berani nak bertegur sapa dengan mana-mana lelaki lagi. Tahun ketiga, aku sudah bekerja. Perangai naik tangannya itu sudah mula berkurang tetapi baran dia masih ada. Walaupun selalu marah, tetapi aku cinta dan sayang dia sangat. Kadang-kadang memang ada rasa tertekan.
“Tetapi aku cuba untuk faham dan fikir yang suami lakukan semua itu untuk kebaikan aku. Sepanjang bercinta, suami tak pernah berkira bab duit dan bab makan. Dia juga orang yang selalu tolong aku apabila ada masalah. Sebab itulah aku sayang dia. Aku rasa dalam dunia ini, dia sahaja yang memahami aku.
“Mungkin disebabkan aku lahir dalam keluarga yang pecah belah. Apabila wujudnya lelaki yang selalu dengar luahan, aku jadi cepat selesa. Masa itu tahap tak kisah dia nak naik tangan dekat aku sekali pun. Selepas tahun ketiga kami bercinta, aku sudah berikan suami kepada suami termasuklah maruah diri.
“Aku sudah sayang sangat dekat suami. Dia juga sudah berjanji nak kahwin dengan aku. Entah kenapa, aku dengan rela hati berikan. Selepas seminggu dari kejadian itu, aku sudah tak tentu arah. Takut dia tinggalkan aku walaupun layanan dia masih tak berubah. Cuma dia jarang balas mesej atau ajak keluar.
“Suami hanya ajak aku keluar kalau nak buat benda terkutuk itu. Berkali-kali sampai pertengahan tahun, aku mengandung. Mulanya, dia suruh gugurkan kandungan itu tetapi aku tak nak. Suami mengamuk dan kami tak berhubung selama sebulan. Masa itu, aku seakan ada tekanan perasaan. Takut dia tak mahu bertanggungjawab.
“Suami langsung tak hubungi aku selepas bergaduh. Aku kerja seperti biasa sebelum menceritakan perkara ini kepada rakan serumah. Dia terkejut dan nasihat aku untuk tinggalkan suami. Aku menangis fikirkan anak di dalam kandungan yang tiada bapa. Aku pula belum berkahwin. Seminggu aku tak datang kerja sebab mabuk hamil.
“Aku tipu majikan, ambil cuti sakit sebab cirit birit dan keracunan makanan. Malan itu, aku mesej suami minta putus. Dia ajak jumpa. Aku setuju sebab sudah sebulan kami tak bersua muka. Masuk kereta, kami mula-mula senyap. Aku pun cakap sekali lagi, nak berpisah. Muka dia masa itu sudah merah tahan marah.
“Suami tanya siapa hasut aku atau ada jantan lain dekat tempat kerja. Aku berdiam sahaja waktu disoal sebab takut. Dia jerkah dan tampar aku kuat. Aku jawab tiada sesiapa dan minta maaf sebab nak berpisah. Selepas tampar, dia parkir kereta dan peluk aku sebelum meminta maaf. Aku jadi bodoh maafkan dia.
“Suami suruh beritahu mak dan bapak aku mengenai hubungan kami. Aku cakaplah sudah pernah beritahu tetapi mereka tak setuju sebab suami terlalu tua. Dia pun ajak aku menikah dekat Thailand. Aku ikut sahajalah sebab fikirkan kandungan. Aku juga memang sayangkan dia sangat. Selepas itu, hubungan kami kembali normal.
“Aku kahwin dengan suami pada hujung tahun. Ingatkan selepas kahwin dan tengah mengandungkan anak dia, perangai berubah. Rupanya tidak ya. Dia semakin panas baran dan mengawal aku. Banyak kali bergaduh lebih-lebih lagi kalau aku nak pergi kerja. Lambat satu minit, dia tuduh aku menggatal dengan jantan di tempat kerja.
“Kalau nak rapat dengan rakan sekerja perempuan pun suami tak benarkan. Alasan dia, nanti terhasut dengan kata-kata orang perempuan dekat tempat kerja. Selepas kahwin, dia semakin teruk. Pakai losen sedikit, suami akan tuduh aku macam-macam sampai rasa bosan dengan perangai dia sekarang.
“Pernah aku bekerja di luar kawasan bersama dua rakan sekerja. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Suami boleh kejar aku ke tempat mesyuarat dan suruh aku balik. Depan orang ramai aku kena marah dan diheret balik. Aku tertekan sampailah terpaksa berhenti kerja sebab tak tahan perangai panas baran dan kaki pukul dia.
“Selepas berhenti kerja, suami ambil semua kunci rumah dan kad bank aku. Memang tak benarkan aku keluar langsung selain daripada dengan dia. Aku kena kurung dan tiada kebebasan. Kalau persoalkan, suami akan marah dan tuduh aku nak larikan diri daripada dia. Masuk empat bulan kahwin, tiba-tiba aku rasa menyesal.
“Sebabnya tak fikir masak-masak sebelum buat keputusan nak berkahwin. Aku juga menyesal sebab membelakangkan mak bapak dan keluarga. Aku berharap yang dia akan berubah selepas anak kami lahir. Aku terperangkap sebab dibutakan dengan perhatian yang suami berikan dan rasa cintaku terhadapnya.
“Aku harap sangat diberikan kekuatan. Nasihat aku kepada perempuan di luar sana, pilih pasangan betul-betul. Sebabnya, kahwin ini bukanlah perkara mudah. Apabila sudah menikah, kau automatik akan terikat dan susah nak lepas seperti apa yang aku lalui sekarang. Menyesal di kemudian hari sudah tak berguna lagi.
“Kalau masa bercinta sudah nampak banyak sangat perangai tak elok, baiklah kau tinggalkan sahaja dan dengar nasihat mak bapak. Jangan belakangkan mereka dan yang paling penting, kena pandai jaga diri. Doakan suami aku berubah suatu masa nanti.” Kongsi Diana (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: Ejen hartanah jual rumah di Nilai tapi ‘claim’ berhampiran KLCC, “jarak 59 kilometer je”