Sebulan dilanda kontroversi, kereta Pengarah Mentega Terbang disimbah cat merah, nota ugutan

Oleh KIM SYAZIE

Sejak kebelakangan ini kontroversi membabitkan filem Mentega Terbang yang ditayangkan tahun lalu terus menjadi perbincangan di media sosial sehingga ada dalam kalangan kru filem itu, diancam dan diugut pihak tidak dikenali.

Terbaru, kenderaan milik pengarah dan penulis skrip filem itu, Khairi Anwar Jailani dan Arjun Thanaraju dilaporkan disimbah cat dan asid semalam.

Beberapa keping gambar berkaitan kejadian itu tersebar di media sosial menunjukkan keadaan kenderaan milik kedua-dua individu terbabit yang disimbah cat serta asid.

Turut tular gambar lima keping nota ugutan bunuh yang bertulis ‘Lu dengan family mesti mati’ dan nota amaran ‘Mentega Terbang jangan cabar agama Islam’ serta ‘Ingat Family Mentega Terbang’, menurut perkongsian gambar di Twitter wartawan SCMP, Amer Hadi Azmi

Turut kelihatan dalam ciapan itu kereta Proton Saga berwarna merah dan Toyota Vios berwarna putih dengan kesan simbahan asid dan cat.

Memetik laporan Berita Harian, peguam mewakili mereka, Zaid Malek berkata kejadian itu disedari pada awal pagi tadi dan di kediaman masing-masing.

“Kereta Khairi disimbah cat, manakala kereta Arjun disimbah cat serta sejenis bahan menghakis.

“Pada kedua-dua kereta itu, mereka menjumpai beberapa nota yang mengatakan filem Mentega Terbang menghina Islam,” katanya.

Ujarnya, kedua-duanya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Kajang dan Ampang.

Sejak isu filem Mentega Terbang menjadi sensasi, banyak pihak yang terbabit dalam filem ini termasuk pelakon dan kru menerima ancaman dan kecaman di media sosial.

“Kejadian ini menimbulkan kegusaran kepada mereka sedangkan mereka sudah memberikan kerjasama yang baik kepada siasatan polis.

“Tetapi yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana mereka (suspek) boleh mengetahui di mana mereka tinggal dan tahu yang mana satu kereta milik mereka, ini menimbulkan persoalan,” katanya.

Zaid turut berkata, walaupun mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan kandungan filem itu, pelakon dan kru tidak sewajarnya diganggu dan dianiaya sedemikian.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu ciapan balasan kepada hantaran Amer Hadi Azmi, mengecam perbuatan berkenaan.

“Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan-ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang.

“Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa.

“Follow the law, don’t take matters into your own hands (Ikut undang-undang, jangan ambil tindakan sendiri),” katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen mengecam perbuatan itu yang dianggap hanya akan memburukkan imej Islam dan melabel perbuatan itu sebagai ektremis.

Baca juga: ‘Beli kereta tapi tak boleh guna’, pemilik Proton X50 rasa diperbodohkan