Ingatlah hutang itu wajib dibayar, jangan tangguh jika sudah punya duit secukupnya untuk bayar balik wang yang dipinjam.
Tapi masih wujud mereka yang menunjuk-nunjuk di sosial media, melancong, bersedekah sedangkan masih ada hutang tak dibayar.
Seorang wanita, Mysarah (bukan nama sebenar) mengakui terhutang budi dengan rakan sehingga sanggup memberi pinjam namun selepas tiga tahun kawannya itu masih belum bayar.
Di bawah adalah luahan tersebut.
Aku tak tahu nak luah kat siapa. Aku luah kat sini sahaja. Akan ada yang anggap topik ni agak klise dan membosankan, aku faham.
Empat ke lima tahun lepas, aku hidup susah. Walaupun aku dah berkahwin, tapi kami memang hadap fasa hidup yang agak perit.
Orang kata, lima tahun pertama perkahwinan memang akan dapat ujian macam tu.
Aku memang wajib tiap bulan pinjam dalam RM100 ke RM200 daripada seorang kawan (yang dah kahwin juga). Aku namakan sebagai Amy.
Bagi aku, Amy ni memang baik gila. Masa aku susah, dia lah yang tolong aku. Masa suami aku sakit, dia suami isteri tolong bawakan suami aku pergi hospital sebab masa tu anak aku masih kecil lagi.
Tiap kali aku pinjam duit dia, memang aku wajib akan bayar balik hutang aku pada dia pada hari gaji. Aku dapat gaji je, benda pertama yang aku bayar adalah hutang dia.
Dalam beberapa bulan juga aku ‘menyusahkan’ hidup dia. Pastu hidup aku makin ok dan boleh dikatakan dah stabil.
Aku dah tak ada pinjam-pinjam duit dia dah dan dia pun hidup aman-aman je. Dalam tiga tahun lepas, dia tetiba WhatsApp aku. Dia kata nak minta tolong. Nak pinjam duit aku.
Dengan senang hati, aku tak ada tanya banyak, aku terus transfer sejumlah duit yang dia nak pinjam. Dalam RM2k juga.
Aku tanya dia ada masalah ke? Dia cakap mak dan adik-beradik nak datang bertandang kat rumah dia sebulan.
Jadi duit tu memang diperlukan lah untuk makan minum, nak bawa keluarga jalan-jalan. Macam tu lah kata dia. Dia kata bagi masa sebulan. Dia akan bayar balik.
Aku ok je sebab masa aku susah, dia tak berkira. Ini dia memerlukan, aku pun tak perlu lah nak berkira dengan dia kan.
Lepas 3 tahun masih tak bayar
Dipendekkan cerita, dah tiga tahun dia masih belum bayar duit aku. Aku tak minta, tapi kadang-kadang dia WhatsApp aku, minta nombor akaun bank aku katanya nak bayar.
Bila aku dah bagi, dia senyap. Dah lima kali dia minta nombor akaun bank aku. Aku senyap sahaja sebab aku masih mampu lagi teruskan hidup.
Malang tak berbau, adik aku kemalangan. Dalam masa yang sama, mak dan ayah bersilih ganti masuk hospital.
Memang memerlukan sangat-sangat duit. Banyak alat-alat perubatan yang kena beli, terapi, makan minum dan macam-macam lagi lah.
Dalam masa sama, suami aku hanya makan gaji basic dan elaun saja, tak ada kerja lebih masa sebab syarikat ada problem. Memang susah sikit hidup kami.
Aku cuba WhatsApp dia, cerita masalah dan minta untuk dia lunaskan hutangnya. Dia macam biasa mintak nmbor akaun (walaupun dah banyak kali minta) dan akan transfer secepatnya.
Aku tunggu punya tunggu, tak masuk-masuk duit dalam akaun aku. Sampai dua minggu aku sabar.
Dalam masa dua minggu tu, aku tengok kat Facebook dia update yang hantar sedekah makanan kat masjid-masjid, sedekah sana sini.
Aku macam naik angin lah. Kau sibuk sedekah sana sini, tapi benda wajib kau tak lunaskan. Aku pun WhatsApp dia.
Kau tau tak dia jawab apa? Dia jawab, Allah belum izin untuk dia bayar hutangnya kat aku. Siap cakap, ini ujian untuk aku. Allah nak uji sama ada aku sabar atau tidak.
Aku terus macam terhempas ke lantai. Otak aku jatuh. Terdiam aku.
Aku akui, dia memang sekarang dah berjinak-jinak dengan agama. Seminggu 2 kali pergi kelas agama. Tapi macam tu saja dia tarbiah kan aku. Aku geram.
Aku cerita dekat suami aku, suami aku pula asyik suruh aku sabar. Sabar orang lelaki kan, memang mudah hidup dia.
Aku tak tau dah macam mana nak tuntut hutang aku. Aku hidup susah sekarang. Sampai hati dia buat aku macam ni. Mudahan Allah buka pintu hati kau untuk bayar hutang aku.
Baca juga: “Aku disisih keluarga kerana memilih suami tak berharta, nasib ada insan pengotor rela membantu”