Usahawan sensasi, Kak KM kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman ‘house tour’ ataupun lawatan kediaman di akaun media sosial miliknya, baru-baru ini.
Menerusi rakaman dikongsikan di platform TikTok itu, Kak KM memperlihatkan sebuah rumah baharu yang sudah lengkap dengan pelbagai keperluan termasuklah perabot dan peralatan elektrik.
Pemilik nama sebenar Liana Rosli itu nampaknya begitu teruja ketika melihat keadaan kediaman berkenaan yang sudah siap dihiasi dengan gambar dan pokok bersama suami dan anak-anaknya.
Menurut Kak KM, rumah baharu tersebut dibelikan untuk anak ketiganya iaitu Rania Razman yang baru berusia 15 tahun dipercayai sebagai persiapan awal untuk diduduki oleh remaja terbabit apabila dewasa kelak.
Kak KM yang juga merupakan anak kepada pelakon veteren iaitu Normah Damanhuri itu turut meluahkan rasa syukur dan terharu kerana mampu menyediakan tempat tinggal selesa buat warisnya.
“Alhamdulillah, rumah Rania. Sediakan rumah untuk semua anak adalah bonus,” kata usahawan itu menerusi ruangan kapsyen video yang berdurasi satu minit 58 saat tersebut
Kak KM menerusi ruangan komen turut memberikan penjelasan bahawa setiap anak-anaknya sudah dibelikan rumah kecuali anak bongsunya iaitu Cinta Carissa yang masih belum memiliki aset sendiri.
Usahawan berkenaan sebelum ini juga pernah berkongsi rakaman memaparkan detik manis ketika membelikan rumah buat cahaya mata sulungnya iaitu Nabila dan anak keduanya, Faris.
Sekadar info, Kak KM dan suaminya iaitu Razman Ramli memiliki empat cahaya hasil perkongsian hidup bersama iaitu Faris, Nabila, Rania dan juga Cinta Carissa yang kini berusia empat tahun tahun.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum terhadap Kak KM kerana pandai membuatkan anak-anak rasa dihargai selain menyediakan persiapan awal buat mereka.
Ramai juga pengguna terutamanya ibu bapa merasa terinspirasi dengan tindakan Kak KM dan mengakui bakal mengambil keputusan serupa sekiranya mampu daripada segi kewangan satu hari nanti.
“Percayalah jauh di sudut hati yang paling dalam, kita sebagai ibu ini paling takut kalau anak-anak hidup susah,” kata seorang pengguna yang bersetuju dengan tindakan usahawan itu membuat persiapan awal.
“Suka cara Kak KM hargai anak-anaknya. Macam-macam dia buat untuk anaknya. Semoga saya juga mampu beri macam-macam kemudahan dekat anak sendiri kelak.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Generasi baru di US kini tidak mahu lagi warisi perabot dari ibu bapa, ini sebabnya