Perebutan harta pusaka sering mencetuskan konflik dalam keluarga, terutamanya apabila tiada pembahagian yang jelas.
Ia bukan sahaja meretakkan hubungan, malah boleh menindas waris yang lemah seperti anak yatim yang hanya mahu mempertahankan tempat berteduh mereka.
Seorang anak yatim berusia 12 tahun, ZK dari Desa Karangsong, Indramayu, Indonesia kini berdepan tekanan emosi dan kehidupan sukar lapor portal Berita Indramayu.
Ini adalah selepas datuk kandungnya sendiri memfailkan saman terhadapnya berhubung perebutan tanah pusaka milik arwah bapanya, Suparto.
ZK yang tinggal bersama abang dan ibu di rumah pusaka sejak 2009 menjadi pihak defendan dalam saman sivil di Mahkamah Negeri Indramayu.
Seorang tokoh masyarakat Karangsong, Warhadi Papi memaklumkan kes bermula tiga hari selepas kematian bapanya pada Julai 2024 apabila datuknya menuntut rumah tersebut dikosongkan.
Tanah seluas 162 meter persegi itu dibeli datuknya pada 2008, namun sebahagian bayaran dan pembinaan rumah dilakukan oleh arwah Suparto.
ZK turut mengalami trauma selepas halaman rumah mereka ditimbus tanah merah dua kali, mencetuskan pertengkaran hingga abangnya disiasat polis.
Peguam datuk ZK, Saprudin SH mendakwa pihaknya telah menawarkan pampasan Rp108 juta (RM28,157) dalam perbincangan, namun ditolak kerana pihak ZK menuntut Rp150 juta (RM39,107).
Kegagalan mencapai persetujuan menyebabkan kes difailkan di mahkamah.
Berhubung insiden penimbunan tanah merah di rumah ZK, Saprudin menjelaskan ia bertujuan memadatkan tanah kerana kawasan tersebut sering banjir,
Namun tindakan itu mendapat tentangan keras daripada keluarga ZK sehingga berlaku ancaman dan cubaan merosakkan lori.
Jurucakap Mahkamah Negeri Indramayu, Adrian Anju Purba mengesahkan perbicaraan bermula 2 Julai 2025, dan menyatakan bahawa ZK berhak menerima sokongan termasuk daripada Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) sepanjang proses perundangan.
Baca juga: Cikgu tegur pelajar guna Bahasa Indonesia dalam karangan, tertukar kawan dengan teman