Sedih tengok nasib bekas ‘keeper’ kebangsaan, terpaksa jual medal siap petik nama TMJ pohon pertolongan

Oleh KIM SYAZIE

Nama bekas penjaga gol kebangsaan dan Selangor, Jamsari Sabian kembali meniti di bibir penyokong bola sepak tanah air apabila dia dilaporkan membuat ‘lelongan’ koleksi medalnya buat kali kedua.

Pada 2020, nama Jamsari juga pernah menjadi bualan selepas dia terpaksa menjual barangan peribadinya demi kelangsungan hidup.

Mustahil dia mahu melepaskan medal kejuaraan yang paling bernilai dalam kerier bola sepaknya jika tidak kerana terdesak mahu meneruskan kehidupan.

Dalam perkongsian di Facebook, Jamsari berkata, dia mahu menjual beberapa medal kejuaraan yang dimenanginya ketika bersama kelab MPPJ FC dari 2001-2004, di mana kelab itu muncul juara Piala Malaysia pada 2003.

“Ya Allah permudahkan urusanku. Semoga ada sudi nak membantu membeli koleksi MPPJ FC.

“Semoga ada peminat-peminat bola sepak yang berminat boleh PM (Private Message) saya,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.

Ujarnya lagi, dia berharap mungkin ada dari pihak Istana Selangor yang berhajat untuk memiliki koleksinya itu.

“Mana tau Sultan Selangor minat… sebab MPPJ FC juara 2003 ambil medal dengan Tuanku (medal yang paling kecil),” katanya.

Malah, Jamsari turut menyeru nama pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mungkin boleh membantunya bagi meringankan beban ditanggung.

“Mana tau rezeki TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) baca dan mahu membantu. Syukur sangat-sangat”.

Baca juga: Ramai masih tak tahu tentang Wang Tidak Dituntut, pemuda ini kongsi berjaya dapatkan lebih RM37,000 wang miliknya