Merindui rasa enak ayam kampung goreng untuk hidangan tengah hari ketika anda berada di lokasi bandar yang pesat membangun?
Restoran Ayam Kampung Kota Damansara (AKKDS) di alamat 49 Jalan Cecawi, 6/33 dalam kawasan Petaling Jaya ini menawarkan anda pelbagai pilihan masakan Melayu yang menyelerakan pada harga berpatutan.
Kunjungan Malaysia Dateline pukul 1 petang semalam menyaksikan orang ramai termasuk golongan pekerja kolar putih memenuhi tidak kurang 20 meja di restoran berkenaan.
Meskipun papan niaga di hadapan premis yang berlatarkan warna kuning itu ringkas tanpa sebarang logo, namun hidangan lauk-pauknya cukup kompleks rasanya untuk digambarkan dengan kata-kata tanpa anda sendiri datang mencuba.
Selain ayam kampung goreng yang menjadi identiti restoran ini, anda yang inginkan kelainan boleh menjamah pelbagai jenis ikan bakar atau ikan goreng yang segar dan garing.
Sesuai dengan nama restoran ini, deretan jenis ulam-ulaman dan sayur-sayuran kampung turut tersedia yang boleh dikira wajib untuk diambil oleh pelanggan antaranya pegaga, selom, ulam raja dan kacang botol.
Cubalah melatih lidah anda yang mungkin sudah lazim dengan sayuran ‘urban’ seperti kobis atau brokoli dengan ulam-ulaman yang menyihatkan datuk nenek moyang kita.
Bayangkan ketika terik matahari, anda menjamah jantung pisang yang dicicah dengan sambal belacan, kepuasan menikmati juadah selera kampung jelas terasa apa lagi diiringi peluh memercik di dahi pada setiap kunyahan.
Pencuci mulutnya? Kunyah sahaja pisang masak ranum yang boleh didapati di kaunter pembayaran dengan harga hanya 80 sen sebiji.
Hanya dalam RM10 secara puratanya, anda boleh menikmati sepinggan nasi putih dengan seketul ayam kampung goreng rangup, ulam atau sayur kampung seperti sayur nangka masak lemak serta segelas air sirap limau.
Segalanya cukup rasa, berbaloi harga. Lokasi restoran ini yang mudah dikunjungi serta pekerjanya kemas memakai t-shirt seragam dan pantas pula menghantar minuman dipesan menjadikan anda sekeluarga atau rakan sekerja tidak pernah kecewa dengan kebersihan, layanan dan rasa masakannya.
Yang menarik juga, tempat basuh tangannya ada sabun di atas daun pisang segar, kelihatan bersih bukan. Datanglah, tidak rugi mencuba.