Seorang wanita tidak menyangka dapat menemui semula peranti elektrik iaitu iPad di tempat yang sama barangan tersebut ditinggalkan secara tidak sengaja di luar sebuah kedai makan di Jepun.
Penemuan itu dikongsikan oleh wanita terbabit menerusi satu rakaman dimuat naik di akaun TikTok miliknya yang memaparkan situasi sewaktu peranti elektrik berkenaan berjaya ditemukan semula.
Dalam video tersebut, wanita itu mulanya memaklumkan bahawa iPad miliknya ditinggalkan secara tidak sengaja di atas papan tanda kedai makan berkenaan sehari sebelum kejadian.
Wanita itu bagaimanapun tidak dapat mengambil peranti elektrik tersebut pada hari yang sama kerana baru sahaja menyedari kehilangannya ketika restoran tersebut sudah ditutup.
Pada keesokkan harinya, wanita berkenaan bersama ahli keluarganya datang semula ke restoran tersebut dengan harapan dapat menemukan peranti elektrik pintar itu jika bernasib baik.
Wanita itu bagaimanapun tidak menyangka bahawa iPad tersebut sememangnya masih lagi berada di tempat yang sama iaitu di atas papan tanda restoran walaupun sudah seharian ia ditinggalkan.
“Ya Allah, punyalah selamat dekat Jepun ini. Sebab itulah setiap tahun, tak pernah lepaskan peluang untuk bercuti di Jepun. Cumanya perjalanan kali ini ada dua kisah iaitu tertinggal iPad dan beg.
“Alhamdulillah jumpa semula. Saya sangat risau ada orang ambil sebab kedai ini memang ramai orang beratur nak makan. Tetapi orang Jepun ini memang tahap hanya buat hal sendiri.
“Nampak iPad tertinggal pun tiada sesiapa yang ambil sebab bukan milik mereka,” kata wanita itu yang kagum dengan sikap rakyat tempatan menerusi ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna sedia maklum dengan sikap kejujuran rakyat Jepun dengan berkongsikan sendiri pengalaman peribadi mereka ketika berkunjung di negara itu.
Walau bagaimanapun, ramai juga pengguna mengakui bahawa ada satu barangan yang semestinya akan hilang sekiranya ditinggalkan di tempat awam di sekitar negara matahari terbit itu iaitu payung.
“Orang Jepun ini mereka memang tak akan ambil barang orang kecuali payung. Kalau tertinggal payung memang tak jumpa balik,” kata seorang pengguna yang terpaksa membeli payung baharu selepas diambil orang.
“Kawan saya tertinggal dompet penuh dengan duit dekat kaunter juruwang di kawasan Ginza. Selepas beberapa jam, barulah perasan. Tetapi dapat semula dompet itu dengan semua duit. Sangat mengagumkan!” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Rakyat Malaysia dijangka berpuasa dalam keadaan hampir tiada hujan, cuaca kering dan panas