Sebagaimana sejarahnya, kerjasama Pas dengan rakannya Umno secara rasmi berpecah di Kelantan apabila Umno mengumumkan akan bertanding kesemua kerusi di Kelantan bersama rakannya dalam komponen Barisan Nasional.
Menurut Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, sejarah sebelum ini telah mencatatkan tidak ada satu pun gabungan parti politik yang disertai oleh Pas dapat kekal lama kecuali ianya pecah atau berkubor dalam tempoh yang singkat.

“Itulah yang telah berlaku kepada BN, APU, Gagasan Sejahtera, Pakatan Rakyat (PR) dan Muafakat Nasional (MN), samada Pas yang keluar meninggalkan pakatan tersebut atau gabungan itu sendiri berkecai dan hilang riwayatnya,” kata beliau menerusi facebook beliau.
Beliau mengucapkan terima kasih Umno/BN kerana telah mengumumkan akan bertanding secara solo di semua 45 Dun dan 14 Parlimen di Kelantan.
“Pendirian ini selaligus menamatkan riwayat MN di Kelantan di mana Pas dilihat masih merayu rayu untuk mengekalkan hubungan dengan Umno selain terus mengukuhkan hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN),” kata bekas kadi daerah Kota Bharu itu.
Menurut beliau, PH walaupun belum membuat pengumunan rasmi, pastinya akan turut meletak calon di semua 45 Dun dan 14 Parlimen di Kelantan di mana kerusi kerusi yang akan ditandingi akan diagih secara saksama antara parti anggota selaras dengan keputusan PH di peringkat pusat yang akan menentang BN dan PN kerana kedua dua gabungan adalah “parti kerajaan” yang gagal.
“Pas nampaknya tidak ada pilihan kecuali menyerahkan beberapa kerusi di Kelantan untuk ditandingi oleh Bersatu bagi mempastikan jangkahayat PN masih dapat diteruskan sekurang kurangnya sehingga PRU 15,” kata beliau mengulas pengumuman Umno Kelantan semalam.
Bagaimanapun, menurut Che Ibrahim, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya pertandingan empat penjuru di Kelantan apabila wujudnya GTA (Gerakan Tanah Air pimpinan Tun Dr Mahathir).
“Apa pun kita tidak menolak kewujudan GTA yang mungkin bakal menjadikan pertandingan 4 penjuru atau lebih di Kelantan untuk sama sama bersaing menawarkan “Kelantan Baru” kepada rakyat Kelantan setelah lebih 30 tahun di bawah Pas.
“Umno/BN tentunya lebih tahu kerana mereka sendiri sudah lebih 30 tahun di tolak oleh rakyat Kelantan,” katanya.
Namun beliau menegaskan, ia terletak kepada keputusan AMANAH dan Pakatan Harapan di peringkat pusat.
“Alik ambo di Klatey ni Gini jah.. kalu PH Pusat pakat dgn Umno, maka PH klatey pun kena pakat dgn Umno. Kalu PH Pusat lawan Umno, maka PH klatey pun kena lawan dgn Umno,” katanya dalam loghat Kelantan.
Umno Kelantan menyasarkan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sembilan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dari 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata segala-galanya tidak mustahil sekiranya mereka bekerja keras.
“Kalau orang kata kita bercita-cita besar, tidak mengapa kerana setiap perkara perlu dimulakan dengan cita-cita. Insya-Allah dengan izin Allah kita akan memperoleh sasaran berkenaan.
“Untuk kerusi Parlimen juga tidak mustahil memandangkan pada PRU-11 iaitu pada 2004, kita pernah memperoleh kemenangan sembilan kerusi Parlimen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Veteran Umno Kelantan PRU-15 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Pasir Mas semalam.