Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mengecam kegagalan Datin Seri Rosmah Mansor untuk hadir pada prosiding rayuannya hari ini.
Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, lebih mengecewakan apabila Mahkamah Rayuan tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap isteri Datuk Seri Najib Razak itu ekoran ketidakhadirannya.
“Perbuatan Datin Seri Rosmah Mansor yang telah gagal hadir pada prosiding Mahakamah yang ditetapkan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati sistem undang-undang negara.
“Lebih mengecewakan lagi adalah, mahkamah memberi peluang dan tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap kegagalan beliau mematuhi arahan mahkamah,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah Rayuan hari ini sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.
Mengulas lanjut, Ulya Aqamah menegaskan Rosmah tidak wajar diberi apa-apa kelebihan lantaran bersikap membelakangi undang-undang.
“Bayangkan jika perkara yang sama dilakukan oleh rakyat biasa, sudah pasti waran tangkap akan dikeluarkan dengan segera.
“Adakah undang-undang negara istimewa bagi sesetengah individu yang mempunyai kuasa?
“Jelas bahawa Rosmah Mansor tidak menghormati undang-undang dan tidak sepatutnya diberi sebarang kelebihan. Cukuplah peluang yang diberi disalah guna dan diambil kesempatan,” katanya.
Untuk rekod, peguam bela, Datuk Jagjit Singh memberitahu kepada Hakim Datuk Hanipah Farikullah bahawa anak guamnya meminda tarikh perjalanan pulang dari 21 November ke 6 Disember ini.
“Oleh itu saya memohon agar kehadiran anak guam saya pada prosiding hari ini dikecualikan,”katanya.
Hakim Hanipah kemudian menyoal sama ada pihak pembelaan memohon lanjutan masa dari Mahkamah Tinggi berhubung perubahan jadual perjalanan tersebut.
“Perintah Mahkamah Tinggi jelas menunjukkan bahawa perayu (Rosmah) perlu balik ke Malaysia sebelum atau pada 21 November ini dan perlu pulangkan semua pasport pada 6 Disember. Pindaan jadual perjalan ni, ada minta (kebenaran) daripada Mahkamah Tinggi?,” tegas hakim itu.
Soalan sama turut diajukan Hakim Datuk M. Gunalan berhubung kebenaran untuk Rosmah meminda jadual pulang ke Malaysia. Turut bersidang ialah Hakim Datuk Hashim Hamzah.
Peguam itu kemudian memaklumkan pihaknya terlepas pandang berhubung perkara tersebut dan memohon agar kes ditangguhkan kepada Isnin ini sambil mengakui bahawa ketidakhadiran anak guamnya itu adalah satu pelanggaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Ulya Aqamah menegaskan kerajaan perlu menarik kembali dan menyekat dokumen perjalanan dan pasport Rosmah.
“Sekembalinya pulang ke tanah air, dokumen perjalanan dan pasport Rosmah Mansor wajib ditarik semula dan disekat.
“Jangan beri ruang untuk beliau ulangi kegagalan ini dan bertindak seolah-olah beliau kebal dari tindakan undang-undang.
“Jangan kita pernah lupa, yang beliau dibicarakan dan didakwa atas kesalahan yang cukup berat, melibatkan salah guna kuasa, rasuah dan pecah amanah yang kesannya besar kepada rakyat dan negara.
“Mengapa perlu diberikan keistimewaan kepada individu seperti ini?” persoal Ulya Aqamah lagi.