Perbuatan seorang wanita yang mencuri rantai emas kanak-kanak di karnival Jom Heboh terbongkar selepas aksinya dirakam kamera.
Gelagat mencurigakan itu secara tidak sengaja dirakam oleh ibu saudara mangsa yang turut berada di tempat kejadian.
Tular di media sosial, rantai anak kecil itu hilang sekelip mata selepas dipercayai dipotong dari belakang oleh wanita tersebut.
Bertujuan mahu memberi kesedaran, rakaman tersebut dimuat turun di laman TikTok menerusi akaun ibu saudara mangsa.
“Peringatan untuk saya dan orang lain. Hati-hati yang pakai gelang emas atau rantai emas. Sekarang kes macam ini banyak berlaku.
“Saya kena dekat Jom Heboh Shah Alam. Anak buah saya pakai baju warna hitam. Mak cik belakang potong rantai terus hilang,” katanya.
Berjaya ditahan oleh pihak polis yang berada di karnival, wanita tersebut bagaimanapun enggan mengaku melakukan jenayah tersebut.
Malah, rantai emas yang dicuri juga tiada di dalam beg wanita berkenaan kerana sempat diserahkan kepada orang lain sebelum ditahan.
Suspek bagaimanapun telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal mendapati wanita itu mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes kecurian.
Baca juga: Tak ada duit tapi ‘order’ makanan, siap demand lagi nak ayam goreng dan air sirap