“Selalu bila aku video call anak tiri, dia selalu ceria, sampailah satu hari bekas kakak ipar maklum…”

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah banyak kes melibatkan suami isteri yang bercerai dan anak menjadi mangsa dera pasangan baru mereka.

Namun lain pula kisah wanita ini yang memilih untuk menjaga anak tirinya selepas suami meninggal dunia dek kerana terlalu sayang.

Di bawah adalh perkongsian tersebut.

“Nama saya S (bukan nama sebenar). Tujuan saya menulis di ruangan ini sekadar untuk berkongsi rasa dan cerita.

Saya seorang balu dan berumur 29 tahun. Arwah suami saya telah meninggal dunia pada awal tahun yang lalu.

Arwah seorang lelaki yang berumur awal 40-an. Tempoh perkahwinan kami hanya berlangsung selama sembilan bulan sahaja.

Kami masih dalam tempoh mengenal hati budi masing-masing. Perkenalan kami pun sangat singkat, hanya tiga bulan dan terus mengambil keputusan untuk kahwin.

Alhamdulillah, keputusan kami untuk berkahwin direstui oleh kedua belah keluarga. Keluarga saya juga terima arwah dengan hati terbuka.

Walaupun umur arwah jauh berbeza dengan saya dan arwah juga mempunyai seorang anak perempuan yang berumur empat tahun.

Selepas kahwin, saya menjalani hidup baru sebagai isteri dan ibu, saya juga telah berhenti kerja atas permintaan suami.

Ini kerana suami inginkan saya jadi suri rumah dan masak untuknya selain dapat memberikan sepenuh kasih sayang buat anaknya.

Saya menurut permintaan suami dan meneruskan hidup baru dengan bahagia dan gembira.

Walaupun status saya hanyalah sebagai seorang ibu tiri, tapi sangat sayang pada anak arwah suami.

Namun semua telah ditetapkan oleh Allah SWT, jodoh kami tidak panjang, arwah kena serangan strok.

Selepas arwah meninggal dunia, adik beradik arwah mengambil keputusan untuk menjaga anak arwah.

Ini kerana anak arwah sudah kehilangan ibu kandungnya ketika dia berumur dua tahun lagi. Tapi anak ini terlalu rapat dengan saya, dia hanya mengenali saya sebagai ibunya

Apabila adik-beradik arwah membuat keputusan untuk menjaga anak ini, saya terpaksa akur kerana saya tiada kerja tetap.

Sedangkan anak telah sekolah dan memerlukan duit untuk biayai sekolah. Saya tak rasa saya mampu nak besarkan dia dengan baik, sediakan segala kelengkapan yang sempurna.

Selama dua bulan, anak tersebut dijaga oleh kakak arwah. Pada mulanya, anak ini menjalani kehidupan baru seperti biasa dan dia sangat gembira tinggal dengan makciknya.

Malah saya selalu berhubung dengan anak melalui whatsapp video call.

Setiap kali video call, anak selalu bertanya soalan yang meruntun jiwa seperti, kenapa dia mesti tinggal dengan makcik?

Bila saya nak datang jumpa dia? Adakah saya masih sayang kan dia? Hari-hari saya terlalu sepi tanpa anak.

Saya ingatkan anak saya gembira tinggal dengan makciknya. Saya selalu tengok video dan gambar-gambarnya yang ceria di sisi keluarga makciknya di sebelah sana.

Padahal saya salah, kakak ipar saya telah maklumkan kepada saya bahawa anak saya demam dan selalu menangis waktu malam dan selalu bertanyakan saya.

Kakak ipar saya tanya pendapat saya, adakah saya sanggup menjaga anak jika dia kembalikan anak kepada saya.

Saya memang sanggup jaga anak kerana saya sayangkan dia bagai anak kandung sendiri.

Tapi kakak ipar nasihatkan saya, supaya saya fikir masak-masak dulu dan fikir untuk masa depan saya juga.

Kerana saya masih muda dan suatu hari nanti ingin kan keluarga sendiri. Mungkin akan jadi satu masalah pada bakal suami atau bakal mentua nanti.

Demi anak ini, saya ketepikan tentang diri saya. Saya hanya fikir nak jaga anak ini, nak bina hidup baru dan cari kerja yang lebih stabil supaya saya dapat berikan kebahagiaan kepada dia.

Jika satu hari nanti, akan ada jodoh yang ditetapkan untuk saya, saya harap insan tersebut sudi terima anak saya seikhlas hati.

Ini anugerah dan kiriman Allah untuk saya. Saya akan jaga anak yatim piatu ini seperti anak kandung saya.

InsyaaAllah. Doakan saya terus kuat untuk menghadapi ujian dan rintangan hidup ini. Semoga saya boleh jaga dan sayang amanah yang Allah berikan kepada saya.

Baca juga: “Kakak seakan tak boleh terima pernikahan saya dan suami, apatah lagi mereka berpisah dengan talak 3…”