Selalu dengar luahan hati ibu, Putridahlia pilih tak masuk campur hal rumah tangga Nora Ariffin

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun sedar akan kemelut rumah tangga ibunya yang sering tular di media sosial, penyanyi PutriDahlia memilih untuk tidak meninggalkan komen mengenainya.

Anak kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui tahu mengenai isu ibunya dengan bapa tiri Dr Rushdi Ramli lapor Harian Metro.

“Saya hanya nak ibu buat pilihan yang boleh buatkan dirinya gembira dan tenang. Saya hanya mahu dia merasai ketenangan itu.

“Sekarang ini saya percaya ibu pasti ada sebab dia tersendiri. Apa sahaja buat dia gembira, saya akan gembira,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dalam masa sama dia mengakui sering mendengar luahan ibunya namun memilih untuk tidak terlibat dalam isu yang berlegar di media sosial kini.

“Kadang-kadang ibu pun ada datang berjumpa dan meluah masalahnya kepada saya. Saya bukan memberi nasihat, tapi hanya mendengar kerana mungkin mereka mahu untuk meluah sahaja.

“Saya memang rapat dengan ibu dan selalu dengar apa masalahnya. Saya sebenarnya tak baca komen dan tak terbabit.

“Saya fikir mereka adalah orang dewasa, boleh uruskan masalah sendiri. Sebagai anak, saya hanya menyokong apa yang mereka buat, tapi tidak terbabit dengan isu-isu itu.

“Saya percaya apa yang ibu buat kerana mesti ada sebab tersendiri, saya hanya beri sokongan dari jauh,” jelasnya.

Baca juga: Pelik hari-hari tengok pakcik ini beli 20 ketul ayam bungkus dalam plastik merah