“Selamat beristirehat di penjara” – Ini luahan adik Jahidah lepas bekas abang ipar dijel 10 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Perjuangan keluarga wanita yang dipukul sehingga koma oleh suaminya iaitu Jahidah Nordin@Sylvester selama lebih tiga tahun akhirnya menemui titik noktah apabila Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu, semalam.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Facebook, adik kepada Jahidah iaitu Fauziah Nordin, 43, meluahkan rasa lega sebaik bekas abang iparnya, Rosmaini Abd. Raof, 41, dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun akibat perbuatannya itu.

Jelas Fauziah, perasaan tersebut sama dengan apa yang pernah dirasainya dahulu ketika lelaki berkenaan berjaya ditahan pihak polis selepas 38 hari melarikan diri susulan meninggalkan kakaknya ‘nyawa-nyawa ikan’ di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Rasanya seolah-olah (sama) waktu dia berjaya ditangkap selepas melahirkan diri selama 38 hari setelah biarkan Kak Jahidah nyawa-nyawa ikan sahaja di ICU. Apabila Pegawai Penyiasat (IO) beritahu dia sudah ditangkap, aku menggigil rasa syukur sangat.

“Sebab anggota polis dari cawangan Bukit Aman berjaya tangkap dia masa itu dekat Cheras. Apabila dengar pula mahkamah jatuhkan hukuman dan terus masuk penjara sebab dia tak boleh diikat jamin lagi. Ya Allah, tahu tak rasanya dia sama macam menanti dia kena cari sebelum ini.

“Sudah senang-lenang kau selama ini kan dekat luar. Boleh makan sedap-sedap, pergi sana-sini, tengok televisyen dan serba-serbi seronoklah hidup kau selama ini kan. Tetapi kau tengok kakak aku itu. Sudah serupa mayat hidup,” kesalnya.

Menurut Fauziah, tidak pernah ada insiden buruk berlaku terhadap Jahidah selama 25 tahun kakaknya itu bekerja di Semenanjung Malaysia namun keadaan berubah selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang merupakan seorang peniaga itu.

Dalam perkongsian itu, Fauziah juga sempat mengimbas semula kenangan bersama Jahidah yang sangat gemar memasak namun sayangnya kakaknya tidak mampu lagi melakukan perkara disukainya selepas dicederakan oleh Rosmaini.

“Rindu sebenarnya dengan masakan kakak aku sebab dia masak sedap. Tetapi kau telah menjahanamkan kakak aku sampai dia nak angkat jari pun tak boleh. Selama 25 tahun kakak aku berkerja di Semenanjung, tiada perkara terjadi sampailah dapat dekat tangan kau. Terus jadi mayat hidup!.

“Selamat beristirehatlah di penjara,” kata Fauziah kepada Rosmaini selepas lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah, 46, hingga koma pada tiga tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Rosmaini didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka, tangan dan menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya yang ketika itu sedang mengandungkan anak mereka.

Tertuduh yang kini mempunyai dua orang isteri dan lapan anak berusia di antara dua hingga 19 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pangsapuri terletak di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjarahingga tujuh tahun dan denda serta boleh dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan, jika sabit kesalahan.

Sekadar info, Jahidah yang merupakan seorang penjawat awam itu selamat melahirkan bayi lelaki ketika mangsa masih koma pada 30 November 2021 secara pembedahan namun kanak-kanak tidak berdosa terbabit kini disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU).

Hal ini kerana kanak-kanak dikenali sebagai Ehsan Nufail itu masih lagi tidak boleh bercakap, baru sahaja pandai berjalan ketika usianya tiga tahun dan dilaporkan turut mengalami pertumbuhan yang perlahan.

Baca juga: Wanita tanya logik ke dia kena caj RM91 untuk empat lauk, sekali lain yang netizen komen