“Selamat jalan ‘unsung hero’”, mangsa sempat beri bantuan sebelum dihanyut arus banjir

Oleh WAN SITI AMINAH

Banjir yang melanda Penampang, Sabah sejak petang kelmarin telah meragut nyawa pertama apabila jasad seorang wanita ditemukan selepas dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Monica Ting Siew Kwong itu baru sahaja selesai menghantar makanan kepada mangsa banjir di Pekan Donggongon bersama suaminya.

Namun dalam perjalanan pulang, pasangan suami isteri itu terperangkap berdekatan Bulatan Sigah ekoran kenaikan air yang agak laju sebelum memutuskan untuk turun berjalan kaki.

Ketika mencuba melalui kawasan banjir, mangsa dikatakan telah dibawa arus deras malah cubaan suaminya untuk membantu dengan menarik tangan wanita terbabit juga gagal.

Keadaan suami mangsa yang panik ketika ditemui pasukan penyelamat pada pagi Isnin iaitu sekitar 15 minit selepas kejadian itu berlaku sempat dirakam dan dimuat naik di platform TikTok.

@sabah_info

Selamat Jalan unsung hero Monica 😢

♬ original sound – Sabah Info – Sabah Info

“Tragedi berlaku pada jam 1.40 pagi. Mangsa iaitu Monica Ting Siew Kwong bersama suaminya, Hii Ding Wei pergi menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap akibat banjir dekat pekan Donggongon.

“Ketika hendak pulang, mereka melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah. Namun Monica dihanyutkan arus deras (ketika cuba menyelamatkan diri). Suaminya cuba menarik tangan mangsa.

“Namun arus banjir yang sangat kuat telah menyebabkan mangsa terlepas (tangan) sebelum dihanyutkan,” tulis keterangan dalam hantaran video yang dimuat naik oleh @sabah_info itu.

Jasad mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis pada jam 8 pagi hari yang sama.

Difahamkan, operasi SAR dilakukan selepas pihak berkuasa menerima laporan pada 1.45 pagi dan wanita yang telah disahkan meninggal dunia itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk dibedah siasat.

“Jasad Monica ditemui pasukan mencari dan menyelamat di celah pokok berhampiran rumah penduduk pada kira-kira jam 8 pagi di Kampung Hungab, kira-kira 500 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.” Tambah keterangan itu.

Baca juga: Hanya tahu melalui media, bekas personaliti TV terkejut terima 4 waran tangkap, dakwa peguam tak maklum