Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya pengundi membuat pilihan tepat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Menurutnya, usaha menyelamatkan Melaka perlu bagi mengelak hasil negeri dikaut rakus oleh ahli politik tertentu yang tidak bertanggungjawab.
“Kita harus bertekad menyelamatkan negeri daripada rampasan… tidak ada balak, minyak, ‘dia’ rampas pasir.
“Demikianlah politik orang-orang ini. Kalau ada balak, bolot balak. Kalau ada minyak, bolot minyak,” sinisnya dalam rakaman video penjelasan isu PRN Melaka yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Anwar hari ini.
Untuk rekod, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bulan lalu mendakwa terdapat pemimpin Umno di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir.
“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak dari tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti.
“Semuanya berlaku dengan jelas. Ini penipuan yang akan menyebabkan Umno ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang. Saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini,” kata Idris dalam program bual bicara Agenda Awani, 5 Oktober lalu.
Ditanya keyakinannya terhadap senarai calon yang ditampilkan PH pada PRN kali ini, Anwar memberitahu PH sudah memastikan mereka adalah yang terbaik.
“Kita sudah pilih (calon) yang kita anggap yang ada track record terbaik yang berdisiplin dan berakhlak serta setia kepada perjuangan PH.
“Semoga usaha kita diberkati Allah dan Melaka terselamat dengan tatakelola yang baik.
“Sudahlah politik ini dibenci kerana pemimpin-pemimpin dianggap golongan yang hanya memikirkan kekayaan peribadi dan keluarga.
“Oleh itu, berilah peluang untuk membolehkan Melaka kembali menjadi negeri terulung,” kata Anwar lagi.