Seorang lelaki tempatan meluahkan rasa tidak puas hati apabila melihat dua warga asing mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 di bahagian belakang bonet kereta.
Difahamkan, bahan bakar tersebut diisi oleh warga asing berkenaan di dalam sebuah tong yang berada dalam bonet kereta Proton dengan nombor pendaftaran tempatan.
Lelaki dikenali sebagai Arshad Ishak itu kemudian memberanikan diri menegur warga asing terbabit dengan mengatakan tindakan tersebut merupakan satu kesalahan.
“Minyak petrol yang kamu ambil itu jenis bersubsidi. Kamu tak boleh ambil, tahu tak,” kata Arshad kepada dua lelaki dipercayai warga Bangladesh yang sedang leka mengisi minyak.
Kedua-dua warga asing berkenaan bagaimanapun hanya menunjukkan riak selamba malah sempat tersenyum ketika menjawab teguran yang dilontarkan oleh Arshad.
Kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Bangi, Seksyen 7 itu sempat dirakam Arshad sebelum dimuat naik di akaun media sosial TikTok miliknya.
Walau bagaimanapun, jawapan warga asing itu mengenai tujuan mengisi minyak bersubsidi di dalam tong tidak dapat didengari dengan jelas di dalam video tersebut.
Namun, pekerja stesen minyak yang berada di tepi kereta tetapi tidak memainkan peranan mereka dengan menghalang dua warga asing terbabit lebih mengundang kemarahan.
Lebih memburukkan keadaan, pekerja stesen tersebut juga merupakan warga asing yang hanya ‘melihat’ dua pemuda terbabit mengisi minyak petrol bersubsidi itu ke dalam tong.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman yang dikongsi oleh Arshad itu telah berjaya meraih lebih dari setengah juta tontonan dan 14,800 ribu tanda suka oleh pelayar TikTok.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna TikTok memohon penguat kuasa menjalankan tugas dan mengetatkan undang-undang agar tiada pihak mengambil kesempatan.
Ramai juga pengguna memberikan cadangan kepada pengusaha stesen minyak untuk mengambil lebih banyak pekerja tempatan bertugas di bahagian pembantu pam.
Beberapa individu turut menyentuh kepentingan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dikatakan mampu menghalang warga asing menggunakan subsidi minyak tanpa kawalan.
Baca juga: Kecewa jalan berlubang, ketua polis turun padang tampal guna duit sendiri