Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan setakat ini kerajaan negeri sudah mengaktifkan lebih 80 pam bagi mempercepat pengaliran air keluar.
Menerusi ciapan di Twitter, beliau berkata, Kementerian Alam Sekitar akan menghantar lebih banyak pam air hari ini dan akan beroperasi segera.
“Kemaskini (6 petang), Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar @ZainiUjang2 hubungi negeri memaklumkan akan hantar pam untuk pam air bagi percepat pengaliran air keluar.
“Petang ini pam-pam akan sampai dan beroperasi. Ketika ini kita sudah aktifkan lebih 80 pam bagi percepat aliran air,” tulisnya.
Pada masa sama, beliau juga memaklumkan, keadaan cuaca yang baik menjadikan beberapa kawasan yang digenangi air mula surut, namun masih ada beberapa lokaliti terus banjir.
“Kemaskini (5.30 petang): Pola peningkatan air di Sepang dan Kuala Selangor disumbang oleh pengaliran air dari upstream (hulu) ke downstream (hilir) sebelum air keluar ke laut,” ujarnya.