Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak ataupun menghalang pelaksanaan ‘total lockdown’ tetapi meminta pertimbangan secara holistik diberikan kepada aspek kesihatan mental dan kehilangan pendapatan, demikian menurut Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari.
Dalam sidang media sebentar tadi, beliau telah menjelaskan bahawa kuasa melaksanakan ‘total lockdown’ adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, nyawa rakyat Malaysia khususnya di Selangor menjadi keutamaan, namun harus ada sifat ’empathy’ dan memikirkan kesan terhadap kehidupan, hilang pendapatan termasuk kesan kepada kesihatan mental.
Bahkan katanya, tanggungjawab kerajaan untuk mencapai keseimbangan, memutuskan rantaian penularan dan memastikan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.
Bagaimanapun beliau berkata, kenyataan Pengerusi Pasukan Khas COVID-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud tengah hari tadi menjelaskan bahawa PKP penuh perlu diikuti dengan langkah-langkah susulan yang berkesan iaitu vaksinasi yang menyeluruh, proses saringan yang lebih luas dan pantas.
“Ini termasuk sokongan kepada masyarakat termasuk aktiviti pembelajaran dan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Dr Mariah berkata, mekanisme dan strategi bagi pelaksanaan PKP perlu ditambah baik bagi memastikan ia mencapai objektif dikehendaki.
Katanya, sekiranya penguatkuasaan itu terlalu mendesak, kerajaan negeri beranggapan PKP perlu dilaksanakan secara bersasar melibatkan kawasan serangan kluster wabak Covid-19 sahaja.
Bahkan katanya, Selangor perlu tingkatkan vaksinasi bagi mengekang penyebaran dalam kalangan komuniti