10 tahun lalu, perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak berjanji “Awak tolong saya, saya tolong awak’ (“You help me, I help you.”), namun selepas 10 tahun keadaan banjir di Sibu kekal.
“Keadaan yang sepuluh tahun telah berlalu. Banjir di Sibu masih macam dulu,” tulis tokoh media, Datuk A Kadir Jasin melalui facebook beliau.
Kadir mengingatkan rakyat Sarawak tentang janji Najib dahulu yang sampai sekarang tidak tertunai, mungkin kerana janji itu dibuat jika pengundi Sibu memenangkan calon BN ketika itu.
Namun rakyat Sibu ketika itu memilih untuk menyokong calon DAP dan menolak calon BN, Robert Lau.
Pada ketika itu, Najib berjanji akan menandatangani RM5 juta cek untuk melaksanakan projek tebatan banjir.
Menurut Malaysiakini, walaupun calon BN kalah dalam pilihan raya kecil itu, Putrajaya dan kerajaan BN Sarawak telah membelanjakan ratusan juta ringgit dalam tiga fasa projek tebatan banjir Sibu namun banjir kilat tetap menghambat penduduk Sibu.
19 Oktober lalu, Utusan Borneo melaporkan, hujan lebat sejak jam 2 petang telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di Sibu dilanda banjir kilat.
Kejadian banjir kilat itu berlaku susulan air naik mendadak sehingga menenggelamkan beberapa jalan dan kawasan perumahan.
Antara kawasan yang terjejas termasuk bulatan Jalan Oya/Jalan Merdeka (di hadapan Poliklinik Oya), Jalan Hua Khiew, Jalan Tiong Hua, Jalan Merlin, Jalan Merdeka dan beberapa lorong Jalan Bro Albinus.
Bagaimanapun, penduduk yang menetap di kawasan berkenaan bersedia lebih awal dengan meletakkan barang berharga di tempat tinggi dan mengalihkan kenderaan mereka ke kawasan selamat.
Dua minggu sebelum itu, beberapa kawasan rendah di Sibu termasuk Kanowit dilanda banjir susulan peningkatan paras air sungai Batang Rajang.
Antara yang terjejas ialah Khoo Peng Loong, Jalan Lanang dan Jalan Kong Yit Khim, manakala di Kanowit ialah Jalan Panto Mali dan Jalan Penyulau.