Selepas AMANAH, giliran PSB gesa GPS tidak adakan PRN-12 awal

Oleh ARIF ATAN

Selepas AMANAH Sarawak, kini giliran Parti Sarawak Bersatu (PSB) menggesa agar kerajaan negeri Sarawak untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 sehingga proklamasi darurat tamat pada Februari depan.

Menurut Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh, bukan masa yang sesuai untuk diadakan PRN-12 memandangkan kes harian Covid-19 masih tinggi di negeri itu.

“Saya menggesa supaya kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengadakan PRN-12 dalam masa terdekat ini.

“PRN Sabah yang lalu telah menjejaskan bukan sahaja Sabah tetapi seluruh negara yang secara tiba-tiba telah menaikkan kes jangkitan Covid-19 dan menjadi sangat serius.

“Belanjawan Negeri 2022 sudah lulus, jadi mengapa perlu tergesa-gesa adakan PRN-12? Tunggulah sehingga Yang di-Pertuan Agong menamatkan proklamasi darurat Februari depan,” katanya.

Tegas Wong, tiga komponen GPS iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) harus mengambil langkah sama seperti PSB menggesa kerajaan untuk tidak mengadakan PRN-12 sebelum proklamasi darurat ditamatkan.

“Namun, sangat mengecewakan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PRS, SUPP dan PDP kekal senyap sehingga sekarang,” ujarnya.

Justeru, ujarnya lagi, PSB tetap bersedia sekiranya PRN-12 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Apa pun kita berharap supaya kerajaan negeri mengutamakan nyawa rakyat dan tidak tergesa-gesa untuk PRN-12,” tambahnya.

Sebelum ini, Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili berkata, langkah mengadakan PRN-12 dalam masa terdekat harus dielakkan kerana dibimbangi mengundang risiko penularan wabak lebih-lebih lagi dengan kes Covid-19 yang belum nampak reda.

“Kita mengambil maklum terdapat arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkaitan urusan pilihan raya kepada kumpulan tertentu bagi menghadapi PRN-12 dalam masa terdekat ini.

“Sebagai parti yang mendukung sistem demokrasi dan mengambil berat kesihatan awam, AMANAH berpendapat mengadakan pilihan raya dalam tempoh darurat yang ditetapkan sehingga 2 Februari 2022 adalah suatu risiko kesihatan yang perlu dielakkan,” katanya.

Malah, tegas Abang Abdul Halil, pada masa sama, pemimpin GPS seolah-olah ingin mengelak penglibatan pengundi berumur 18 tahun yang hanya dapat diwartakan seawal tahun depan jika PRN-12 diadakan akhir tahun ini.