Khaled Nordin letak jawatan Pengerusi Bousted selaras keputusan Umno

Oleh BORHAN AHMAD

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi dan juga Pengarah Bousted Holding Berhad bermula esok, 5 Ogos 2021 selaras dengan keputusan Umno sebelum ini.

Dalam satu surat yang dihantar oleh beliau kepada Lembaga Pengarah Bousted hari ini, Khaled mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang memberikan kerjasama kepada beliau selama ini.

“Ini sebagai mengambil tanggungjawab saya selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti,” kata Khaled dalam satu kenyataan selepas surat itu.

Khaled yakin dan percaya syarikat kini berada di landasan yang tepat untuk terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu tabung persaraan tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Bousted Holding adalah syarikat besar berkaitan kerajaan yang terletak di bawah Kementerian Pertahanan.

Bekas Menteri Besar Johor itu menyusul tindakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Syamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan semalam.

Perletakan jawatan Anuar dipercayai dibuat selepas Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan untuk menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional.

Media juga melaporkan ura-ura Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Noraini Ahmad akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.