Belum reda lagi semangat gelombang bendera putih yang dilihat sebagai solidariti ‘rakyat bersama rakyat’, kempen bendera hitam pula mula digerakkan sebagai tanda berdiri melawan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Di sosial media, kempen tersebut sedang aktif digerakkan dengan tanda pagar #benderahitam dan rata-ratanya menyertakan kapsyen ‘lawan’.
Menerusi satu gambar yang tular dipercayai digerakkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat, persatuan itu mengajak orang ramai mengibarkan bendera hitam bermula 3 Julai ini sebagai protes di atas kegagalan kerajaan.
Mereka juga mengajak rakyat Malaysia untuk memasang bendera hitam di rumah-rumah, mengambil gambar dan memuatnaik gambar tersebut secara serentak pada jam tiga petang esok.
Untuk rekod, pada semalam kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur selepas sebulan negara berada di bawah perintah berkurung.
Perkara tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai yang mula mempertikai kewajaran kerajaan berbuat demikian walhal rakyat sudah pun diberi arahan berkurung selama sebulan.
Sementara itu menerusi kempen tersebut, Sekretariat Solidariti Rakyat menuntut agar Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan serta merta, menuntut agar Parlimen dibuka segera dan menamatkan Proklamasi Darurat.
Kempen ini difahamkan bagi menzahirkan kekecewaan rakyat terhadap kegagalan perdana menteri dan Kabinet PN.