Selepas dibidas MMA, SPRM padam video ‘MC Boleh Jadi Rasuah’

Oleh ARIF ATAN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berdepan persoalan integriti hari ini bertindak memadam video pesanan khidmat masyarakat bertajuk ‘MC Boleh Jadi Rasuah’.

Tindakan SPRM itu susulan kritikan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) termasuk menggesa suruhanjaya itu membersihkan isu dalamannya sendiri terlebih dahulu.

Menerusi kenyataan enam perenggan SPRM hari ini, agensi itu berkata, mesej daripada video itu sebenarnya adalah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi serta menerima rasuah.

“Dalam konteks video ini, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit (MC) palsu dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM menerusi aduan yang dibuat pihak majikan dan orang awam.

“Suruhanjaya ini tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan,” katanya.

SPRM juga berkata, pihaknya menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai menyelar SPRM ekoran iklan berkaitan doktor yang menjual sijil cuti sakit.

Menurutnya, video yang dikongsikan menerusi platform media sosial SPRM itu menghina kesucian dan imej kerjaya perubatan.

MMA juga menuntut SPRM memohon maaf secara terbuka berhubung video tersebut.

Walau bagaimanapun, SPRM dalam kenyataannya tidak berbuat demikian sebaliknya mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut.

Tindakan SPRM itu, jelasnya lagi, untuk menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.