Dua tahun lalu sekitar Mac 2021, usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, membuat kenyataan tidak sensitif apabila menyatakan hasrat untuk keluar daripada agama Islam melalui sebuah video yang tular di media sosial.
Bagaimanapun, Sajat yang kini sudah menetap di Australia mengeluarkan kenyataan terbaru mengatakan dia masih lagi beragama Islam.
“Aku tetap Islam walaupun mak nyah. Aku tidak menduakan agama aku. Jangan kau mudah jatuhkan hukum mengenai siapa aku.”
Demikian komentar ringkas yang ditinggalkan Nur Sajat. Menerusi ruangan komen di sosial medianya, meskipun dia sudah menukar jantina daripada lelaki kepada wanita, namun dia masih lagi beragama Islam.
Memetik Harian Metro, usahawan bengkung berusia 38 tahun itu memberikan jawapan ringkas kepada seorang pengikut yang meluahkan rasa kecewa apabila Sajat mengenakan tudung sebagai penampilan sopannya ketika bulan puasa.
Mana tidaknya, perkara itu sepatutnya tidak terjadi memandangkan dia seorang lelaki dan ia dianggap melampaui batas dalam agama kerana menyerupai wanita.
Tegas usahawan kelahiran Perak itu, statusnya sebagai mak nyah tidak seharusnya dihakimi dan dijatuhkan hukum.
Begitupun, menjengah ke ruangan komen, ada segelintir netizen yang berpendapat Sajat bertudung hanya mahu mempromosikan hijab tersebut dan ada juga yang mengatakan wajahnya mirip pelakon Rozita Che Wan.
Menjengah ruangan komen, ramai yang menyeru supaya Sajat segera bertaubat ke jalan yang benar dan mendoakan agar dia mendapat hidayah daripada Allah.
Sajat mendedahkan dia berjaya lolos ke Australia dan meninggalkan Malaysia untuk menetap di sana pada 18 Oktober lalu.
Pada 6 Januari lalu, Sajat dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana menghina atau sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada majlis bacaan Yasin dan solat hajat, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.