Gambar nasi putih dan kuah yang tular sebelum ini rupa-rupanya bukan makanan untuk murid di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, wakilnya telah turun ke sekolah terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.
“Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah,” katanya hari ini dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau memberitahu makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja.
“Kementerian mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak berhubung perkara ini.
“Kementerian sentiasa berusaha menambahbaik program RMT, termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima RMT.
“Buat masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan mulai tahun 2021,” katanya lagi.