Selepas lebih 20 tahun, Repco Low masih belum dipenjarakan

Oleh BORHAN AHMAD

Low Thiam How ialah bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Berhad. Dia lebih terkenal dengan gelaran Repco Low.

Repco Low telah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) di Mahkamah Sesyen di dalam tahun 1999 di atas tuduhan memberikan gambaran yang palsu ke atas saham Repco Holding Berhad di dalam tahun 1997.

Ini adalah zaman yang dikenali di SC sebagai zaman Agogo. Undang-undang dan kawal selia pasaran modal tidak seperti sekarang dan ramai orang yang mengambil peluang untuk memperkayakan diri mereka dengan memanipulasi harga saham. Akhirnya apabila berlaku Krisis Kewangan Asia, ramailah pelabur yang terbakar tangan mereka dan ada yang menjadi muflis.

Mulai tahun 2000 pelbagai pembaharuan diperkenalkan untuk mengukuhkan semula pasaran modal. Di dalam tahun ini jugalah Kod Tadbir Usus Korporat yang pertama diperkenalkan. Kawal selia pasaran modal diperketatkan bagi mengurangkan manipulasi harga dan penipuan di dalam pasaran. Sebagai bekas Pengarah Eksekutif SC yang bertanggungjawab ke atas penyeliaan pasaran dan institusi, saya pernah terlibat dengan kerja-kerja sebegini.

Berbalik kepada kes Repco Low, sudah ada pelbagai peringkat perbicaraan. Jika diperhatikan, kebanyakan orang yang dituduh oleh SC akan mencabar kesahihan undang-undang yang digunakan untuk mendakwa mereka. Ini biasanya akan berakhir di Mahkamah Persekutuan. Kemudian barulah perbicaraan sebenar berdasarkan merit kes dimulakan.

Akhirnya di dalam tahun 2016, 17 tahun selepas Repco Low mula dituduh, dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun dan denda RM5 juta. Tentunya dia membuat rayuan dan rayuan itu hanya akan didengari pada tahun hadapan. Jika dia kalah di Mahkamah Tinggi, dia masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan. Jadi, bayangkan lama mana lagi kes ini akan berlansung sebelum orang seperti ini akhirnya dihukum di atas jenayah yang mereka lalukan.

Walaupun mahkamah akhirnya boleh melaksanakan keadilan namun masa yang panjang ini menyebabkan penjenayah-penjenayah menggunakan sistem yang ada untuk melewat-lewatkan hukuman mereka. Mungkin mereka berharap akan mati dahulu sebelum kes selesai. Itu mungkin jalan keluar dari mahkamah dunia namun ada mahkamah Akhirat yang lebih adil menanti mereka.

Perbicaraan yang lama juga bukannya murah. Hanya orang yang sudah mengumpul kekayaan mampu membayar peguam-peguam yang handal yang mempunyai 2 peranan. Yang pertama ialah melenggah-lenggahkan perbicaraan. Kedua ialah untuk melepaskan anak guam mereka dari tuduhan. Manalah orang-orang biasa yang mampu membiayai perbicaraan yang panjang seperti ini.

Jika kita mahu menilai kesejahteraan negara, kes Repco Low ini mungkin boleh menjadi bahan rujukan samada peraturan perundangan (rule of law) membawa keadilan yang cepat dan murah kepada warga negara. Tentunya ada banyak lagi bahan-bahan rujukan seperti kes yang tidak habis-habis siasatannya atau pun ahli Parlimen yang membayar kompaun berjuta kepada SPRM tetapi masih lagi ke sana dan ke mari dengan gelaran Yang Berhormat. Dari mana kehormatan boleh ada pada orang seperti itu, saya pun tak faham.

Saya akan cuba mengulas perkara-perkara yang boleh menjadi kayu ukur kesejahteraan rakyat berbanding dengan “pembangunan” yang sudah menjadi semacam agama di kalangan segolongan ahli masyarakat.