Selepas lima bulan, guru baru sedar ditipu sindiket Macau Scam RM250,000

Oleh ARIF ATAN

Selepas lima bulan ‘membayar ansuran’ berjumlah lebih RM250,000 sejak Oktober tahun lalu, seorang guru wanita baru sedar dirinya ditipu sindiket Macau Scam.

Mangsa juga diarahkan sindiket supaya tidak memaklumkan kepada individu lain bahawa dia kononnya sedang disiasat atas dakwaan penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata, guru itu juga membuat pinjaman sebanyak RM200,000 daripada dua bank bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Pada Jun 2021, mangsa menerima panggilan daripada satu syarikat insurans di Ampang Jaya mengenai pengesahan tuntutan yang kononnya dibuat wanita itu, namun mangsa menafikan perkara itu.

“Pihak insurans memaklumkan mereka akan membuat laporan polis berkaitan hal itu dan mangsa hanya berdiam diri,” dipetik BH hari ini.

Bagaimanapun, Aibee berkata, guru berusia 43 tahun itu menerima panggilan dari Balai Polis Ampang Jaya pada hari sama dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Razlan.

‘Sarjan’ itu mendakwa menerima laporan daripada syarikat insurans terbabit selain memberitahu maklumat peribadi mangsa seperti nombor kad pengenalan terbabit dengan kes penggubahan wang haram melibatkan 13 akaun bank.

Jelas Aibee, keesokan harinya, wanita berkenaan menerima panggilan yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Wati dan memaklumkan mangsa perlu memindahkan wang miliknya ke satu akaunnya sendiri.

“Mangsa diminta untuk memberikan akaun bank yang jarang digunakan untuk dijadikan tempat mengumpul wang sebagai bayaran balik bagi menyelesaikan kes penggubahan wang haram itu.

“Selama hampir lima bulan iaitu dari Jun 2021 hingga awal Oktober 2021 mangsa berhubung dengan sindiket kerana mangsa diarahkan untuk melapor diri melalui Whatsapp, namun wanita itu tidak pernah memaklumkan perkara itu kepada orang lain.

“Kemudian, bermula hujung Oktober 2021 hingga Mac lalu, mangsa melakukan sembilan transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan kepada sindiket dengan nilai keseluruhan RM265,225.

“Sebanyak RM200,000 diperoleh melalui pinjaman daripada dua bank seperti yang diarahkan suspek. Manakala baki kerugian adalah daripada simpanan mangsa sendiri,” katanya.

Aibee berkata, pada 8 April lalu mangsa membuat semakan baki dalam akaun bank yang diberikan kepada suspek dan mendapati hanya terdapat RM78.

“Mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak bank pada 11 April dan mendapati wang dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali.

“Wanita ini juga mendakwa tidak mempunyai perbankan atas talian bagi akaun itu,” ujarnya lagi.

Baca Ada nenek hilang RM1 juta, ramai tertipu panggilan LHDN dan polis, ini 5 kes mangsa Macau Scam

Baca Dikecam dan sering terima gambar lucah, Baby Shima hampir berhenti menggunakan sosial media