Nasib tidak menyebelahi Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Roziah Mohd Janor apabila perlantikan beliau sebagai Naib Canselor ditarik balik sebaik sahaja menteri yang melantiknya meletakkan jawatan.
Pada 2 Ogos lalu, Dr Roziah menerima surat perlantikan sebagai Naib Canselor dari Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.
Menurut surat perlantikan yang kini tular di media sosial itu, perlantikan itu akan berkuatkuasa mulai 9 Ogos 2021 hingga 11 Oktober 2023.
Namun sehari sahaja selepas Dr Noraini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, iaitu pada 7 Ogos semalam, Dr Roziah menerima surat dari Ketua Pengarah Pengajian Tinggi bahawa perlantikan beliau ditangguhkan.
Surat itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar pada 7 Ogos 2021 selepas sehari Dr Noraini meletakkan jawatan iaitu pada 6 Ogos 2021.
“Adalah dimaklumkan bahawa perlantikan YBrs Prof sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA yang berkuatkuasa pada 9 Ogos ditangguhkan sehingga keputusan baharu dibuat oleh pihak kerajaan,” kata surat Dr Husaini kepada DR Roziah.
Semalam media melaporkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima Naib Canselor wanita pertama iaitu Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor yang akan berkuat kuasa mulai Isnin ini menggantikan Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim.
Roziah sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang memangku jawatan nombor satu institusi itu sejak Mohd. Azrai tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu.